Cadang tubuhkan gabungan sukarelawan nelayan untuk gerak kerja lebih bersepadu

NAZRI Ahmad (kemeja biru) ketika bercakap pada sidang media semalam.

BATU MAUNG – Persatuan Nelayan Pulau Pinang mencadangkan agar ditubuhkan badan gabungan sukarelawan nelayan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Pulau Pinang bagi memastikan gerak kerja lebih bersepadu.

 

Pengerusinya, Nazri Ahmad berkata, LKIM kini mempunyai pasukan sukarelawannya dikenali sebagai Kumpulan Keselamatan Nelayan (KESAN) manakala di bawah DOF pula Sukarelawan Perikanan (SUPER).

 

“Sekiranya pasukan sukarelawan ini digabungkan di bawah satu badan gabungan bersama-sama persatuan, fungsi nelayan dalam aktiviti kesukarelawan dapat dioptimumkan.

 

“Malah, pihak persatuan juga dapat membantu dalam operasi SAR (mencari dan menyelamat), kes kemalangan di laut, terjun jambatan dan lain-lain.

 

“(Dan) ini kita (persatuan) anggap ia sebagai CSR (tanggungjawab sosial korporat) kepada masyarakat,” ujarnya dalam satu sidang media dekat Pen-Mutiara semalam.

 

Jelasnya, pihaknya akan berjumpa dengan LKIM dan DOF bagi membincangkan cadangan tersebut dan mekanisme yang perlu bagi melaksanakannya.

 

 

“Sebagai ‘penghuni’ terbanyak di laut, penglibatan nelayan di dalam SAR termasuk menyelamat beberapa mangsa terjun jambatan tidak dapat dinafikan lagi,” katanya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD