GEORGE TOWN – Kumpulan atau mana-mana pihak dialu-alukan untuk mengemukakan pendapat serta cadangan dalam sesi pameran awam Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek pemulihan tapak pelupusan sampah Jelutong, yang kini sedang dikendalikan syarikat konsesi berwajib.
Demikian respons Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika diminta mengulas kenyataan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikai cadangan tebus guna tanah untuk kerja-kerja pemulihan tapak pelupusan sampah tersebut.
“Jadi, jangan lepaskan peluang, kemukakan pandangan ulasan supaya Jabatan Alam Sekitar (JAS) dapat meneliti ulasan-ulasan awam ini dalam pertimbangan mereka,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 28 Mac 2025.
Selagi tidak mendapat kelulusan EIA daripada JAS, Kon Yeow menegaskan bahawa kerja-kerja penambakan laut untuk memulihkan tapak pelupusan sampah tersebut tidak dapat dilaksanakan.
“Pemulihan ini dijangka akan mengambil masa lima hingga enam tahun juga, tetapi, ianya masih tidak boleh dimulakan sebab masih ada EIA yang perlu diluluskan oleh JAS sebagai sebahagian dari tunai syarat Kebenaran Merancang bagi cadangan ini.
“Projek (yang dicadangkan) ini melibatkan pemulihan tapak pelupusan di Jelutong, yang mana segala sisa buangan sejak ia dibuka pada tahun 1990-an akan dikorek semula dan dikitarkan semula iaitu apa yang boleh dikitarkan semula dan apa yang tidak boleh (dikitarkan semula) akan dihantar ke pusat pembuangan sampah bersepadu sementara di Pulau Burung,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi di Komtar pada 28 Mac 2025.
Jika projek tersebut dapat dilaksanakan kelak, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri dan agensinya, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan mendapat antara 20 hingga 30 peratus daripada keseluruhan tanah yang dipulihkan oleh syarikat pemaju berkenaan.
“Selepas pemulihan, pemaju berhak melaksanakan projek-projek pembangunan di atas tapak yang dipulihkan itu.
“Memandangkan kos projek ini ditanggung oleh pemaju, maka balasan kepada negeri adalah sebahagian dari tanah (yang dipulihkan) itu sahaja,” ulasnya lanjut.
Terdahulu, sebuah NGO antara lain dilaporkan berkata bahawa EIA oleh pemaju yang bertanggungjawab ke atas projek itu sendiri mengesahkan tapak pelupusan sampah itu boleh dikorek dan dipulihkan tanpa memerlukan pembesaran tanah melalui kerja-kerja penambakan laut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS