Cadangan naik taraf PIA dipertimbang selepas Kerajaan Pusat muktamadkan kajian NASP

Admin

GEORGE TOWN – Cadangan bagi menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) akan diputuskan selepas Kerajaan Pusat memuktamadkan Kajian National Airport Strategic Plan (NASP).

Menteri Pengangkutan, Datuk Wee Ka Siong berkata, kajian tersebut meliputi semua pembangunan lapangan-lapangan terbang dan Short Take-Off Landing Airport (STOLport) dalam negara yang dijangka siap pada tahun 2023 selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berhubung status terkini projek menaik taraf PIA dan pembinaan KXP di Parlimen, hari ini.

“Kajian ini bertujuan menentukan hala tuju pembangunan lapangan-lapangan terbang di negara ini daripada segi peranan, keperluan ruang udara, kajian ekonomi dan strategik agar pembangunan sesebuah lapangan terbang itu dilaksanakan berdasarkan keperluan seperti mana dapat kajian tersebut.

“Oleh itu, sebarang cadangan pembangunan lapangan terbang baharu termasuk menaik taraf PIA dan pembinaan KXP di Kedah hanya dapat dipertimbangkan selepas kajian NASP dimuktamadkan oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) merancang untuk menaik taraf lagi PIA bagi menampung kapasiti penumpang sehingga 16 juta setahun.

Kerja-kerja menaik taraf tersebut sepatutnya dimulakan pada Mac 2020 dan dijangka siap pada 2024 namun terpaksa ditangguhkan ekoran penularan pandemik COVID-19.