BAGAN JERMAL – Cadangan bagi pembinaan projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua dengan anggaran kos RM1.8 bilion akan dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata bahawa cadangan pembinaan lebuh raya sepanjang 15 kilometer (km) itu telah melepasi proses pertama daripada tiga proses yang diperlukan untuk tujuan pengesahan.
“Pada Februari lalu, pihak Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) telah bentangkan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri berhubung cadangan bagi projek ini.
“(Dan) Kementerian Kerja Raya akan membuat susulan terhadap perkara-perkara yang berkaitan selepas perbincangan di antara PLUS dan UKAS dimuktamadkan, seterusnya kertas cadangan akan diangkat ke Kabinet untuk dibuat keputusan,” katanya pada sidang media selepas perasmian Seminar Jalan Bandar@Penang 2024 dekat Butterworth Arena di sini sebentar tadi.
Seminar tersebut dirasmikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow. Turut hadir, Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Dato’ Ir. Ibrahim Esa; Presiden Road Engineering Association of Malaysia (REAM), Dato’ Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool; Pengarah JKR Pulau Pinang, Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran.
Tambah Ahmad, beliau percaya bahawa pembinaan projek lebuh raya tersebut bakal memberi manfaat jangka panjang bukan sahaja kepada Pulau Pinang, malah penduduk di negeri-negeri di utara tanah air.
“Sekiranya Pak Lah (mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi) dikenang kerana projek Jambatan Kedua Pulau Pinang sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, maka saya berharap agar Perdana Menteri sekarang (Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim) akan dikenang kerana lebuh raya bertingkat ini.
“Harap projek ini berjaya dilaksanakan dan akan menjadi ingatan yang berkekalan daripada Perdana Menteri (Anwar) dan Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) kepada rakyat Pulau Pinang,” katanya sambil menambah bahawa kajian mengenai projek tersebut juga telah selesai dijalankan.
Sebelum itu, Kon Yeow semasa berucap menyatakan bahawa selain projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang dijangka bermula akhir tahun ini, Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua juga merupakan keutamaan yang akan beliau berikan sepanjang perkhidmatannya.
Menurut Kon Yeow, pembinaan projek lebuh raya tersebut adalah penting bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dari Juru ke Sungai Dua yang dilihat semakin kritikal kini.
“Pada Februari lalu, saya secara tidak sengaja membawa Perdana Menteri dari Permatang Pauh ke Batu Kawan untuk majlis pelancaran projek taman perindustrian yang baharu pada waktu puncak, dan beliau telah merasai sendiri masalah kesesakan yang berlaku.
“Perkara ini kemudiannya dibangkitkan semula pada April lalu dan pihak JKR bersama-sama agensi lain kemudian melakukan kajian serta bancian di kawasan berkaitan,” katanya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa projek tersebut mungkin berdepan beberapa cabaran semasa proses pembinaan memandangkan lebuh raya itu di bina di atas jajaran sedia ada.
“Antara cabaran yang mungkin kita hadapi adalah isu utiliti, dan memandangkan lebuh raya ini dibina di atas jajaran sedia ada, isu pengambilan tanah bukanlah menjadi isu yang besar,” katanya sambil menambah bahawa pelaksanaan projek tersebut mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAMD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI