GEORGE TOWN – Cadangan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh untuk menaikkan caj terhadap penggunaan beg plastik dari 20 sen kepada 50 sen masih belum diputuskan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, perkara itu telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Exco semalam.
“Walau bagaimanapun, ia masih di peringkat cadangan dalam usaha memperhebatkan lagi kempen mengurangkan penggunaan beg plastik.
“Isu penggunaan dan pembuangan beg plastik ini menjadi isu global, maka sebarang cadangan ke arah penambahbaikan amat perlu dan dialu-alukan,” ujarnya pada sidang media sejurus merasmikan Persidangan ‘Inspiring Future Leaders’ dekat sini pagi ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa sejak mengimplementasikan caj terhadap penggunaan beg plastik pada tahun 2009, sejumlah RM9 juta telah dipungut hasil daripada inisiatif berkaitan.
“Situasi ini menunjukkan bahawa caj 20 sen yang dikenakan (kini) tidak menghindari pengguna daripada menggunakannya, sebaliknya, ia menunjukkan bahawa pengguna rela membayar jumlah itu untuk mendapatkan beg plastik.
“Namun, melalui pemerhatian umum mendapati lebih 50 peratus rakyat Pulau Pinang membawa beg sendiri apabila membeli-belah,” ujarnya.
Tambah beliau, pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam sebarang isu berbangkit adalah untuk melibatkan pihak-pihak berkepentingan sebelum memberi kata putus.
“Kita (Kerajaan Negeri) akan melibatkan pihak-pihak berkepentingan termasuk yang terlibat dalam industri ini untuk berbincang mengenai cadangan (menaikkan caj) sebelum membuat sebarang keputusan.
“(Kita) juga akan mengambil pandangan rakyat, dan mungkin dalam proses ini, kesedaran awam dapat ditingkatkan. Mungkin umum akan lebih sedar tentang inisiatif mengurangkan penggunaan beg plastik.
“(Dan) mungkin pengguna tidak perlu lagi membayar untuk mendapatkan beg plastik, sebaliknya membawa beg sendiri.
“Penggunaan beg plastik yang tidak terkawal akan menjejaskan alam sekitar termasuk sungai-sungai serta lautan, dan jika tidak dibendung akan menjadi suatu masalah yang memberi impak terhadap manusia sejagat,” ulasnya.
Ditanya sama ada Kerajaan Negeri akan menghentikan pengeluaran beg plastik dalam usaha mengurangkan penggunaannya, Kon Yeow memberitahu bahawa selain bertindak melalui pelaksanaan sesuatu dasar, inisiatif lain yang melibatkan pihak-pihak berkepentingan juga perlu.
“Bukan hanya penguatkuasaan sahaja, tetapi usaha-usaha lain juga boleh menjurus kepada pengurangan penggunaan beg plastik.
“Hal ini kerana, plastik juga kini menjadi salah satu industri, kerana boleh dikitar semula, yang memberi impak berantai bukan sahaja terhadap alam sekitar tetapi juga ekonomi.
“(Dan) usaha-usaha ini menjurus ke arah menjana ekonomi hijau sejajar dengan visi Penang2030 iaitu ‘Green State‘ (Negeri Hijau),” jelasnya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN