DATUK KERAMAT – Caj levi hotel yang diterima oleh Kerajaan Negeri akan digunakan sepenuhnya untuk tujuan pembangunan infrastruktur asas sektor pelancongan serta mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, perbelanjaan menaik taraf infrastruktur secara keseluruhan di negeri ini memberikan manfaat secara langsung pada sektor pelancongan negeri.
“Kita (Kerajaan Negeri) membelanjakan lebih banyak dana daripada levi hotel dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan dan berdaya huni termasuk subsidi kepada syarikat penerbangan serta publisiti di luar negara.
“Kerajaan Negeri membelanjakan RM220 juta bagi pembangunan projek Gurney Bay; menaik taraf Fort Cornwallis pula kita belanjakan antara RM15 hingga RM20 juta; begitu juga rejuvinasi pesisir pantai di Padang Kota dan semua dana ini adalah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.
Kon Yeow menjelaskan perkara itu sebagai respons terhadap pertanyaan wartawan sejurus selepas majlis perasmian Pos Shop di Datuk Keramat petang tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa caj levi hotel tidak memberikan pendapatan sebanyak jumlah yang dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri dalam memperkasakan pelancongan Pulau Pinang.
“Dulu sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada Kerajaan Negeri, Kerajaan Tempatan, agensi negeri serta wakil industri pelancongan akan menentukan cara penggunaan dana ini yang kebanyakan untuk publisiti dan tambah baik instrastruktur, termasuk menggalakkan lebih banyak penerbangan terus.
“Namun, pada tahun 2022, atas nasihat juruaudit, dana ini menjadi sebahagian daripada pendapatan kerajaan dan pengagihan dana adalah mengikut bajet yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri bukan lagi jawatankuasa asal.
“Walau bagaimanapun, dana tersebut masih diberikan kepada agensi negeri, Penang Global Tourism untuk tujuan publisiti dan promosi,” jelasnya.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut menafikan bahawa caj levi hotel akan dinaikkan sebanyak 50 peratus pada tahun ini.
“Tiada rancangan atau polisi untuk itu (kenaikan caj levi hotel), setakat ini memang tidak ada,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT