Caj tambahan bank sejak 2017 berjaya dimansuhkan pada era PH sekarang – Guan Eng

Admin

**

BAGAN JERMAL – Caj tambahan 50 sen bagi transaksi baharu mesin deposit tunai (CDM) dan RM2 untuk urusan pembayaran di kaunter yang dikenakan bank sebenarnya telah dilaksana sejak 2017, tapi berjaya dimansuhkan pada era Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berharap pengumuman Persatuan Bank-Bank Di Malaysia (ABM) untuk memansuhkan kenaan kedua-dua caj tambahan itu baru-baru ini dapat mengurangkan lagi beban yang selama ini ditanggung oleh rakyat teramai terutama di luar bandar serta pinggir bandar.

“Dasar ini telah dilaksanakan pada tahun 2017 (iaitu) dibuat oleh Kerajaan terdahulu.

“Kerajaan (Persekutuan Pakatan Harapan hari ini) akhirnya kita berjaya memperbetulkan perkara ini, dan ia berjaya menjimatkan wang serta caj yang selama ini dikenakan ke atas pengguna-pengguna.

“(Pemansuhan caj tambahan oleh bank) ini penting buat (rakyat) kawasan luar bandar dan kawasan pekan kerana di sana pengguna bank masih biasa masuk wang tunai ke dalam bank (di kaunter) dan tak biasa menggunakan perkhidmatan atas talian,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan acara kempen ‘Drive Safe With Us’ di Stesen Minyak Petronas Jalan Raja Uda di sini pada 29 September 2019.

Turut serta, Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal dan Phee Boon Poh (ADUN Sungai Puyu merangkap Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar).

Menurut Guan Eng, kementeriannya ada menasihat ABM supaya mendengar keluh-kesah rakyat sebelum langkah pemansuhan kenaan caj-caj tambahan bagi transaksi bank diumumkan baru-baru ini.

“Maka, (pemansuhan caj tambahan bagi transaksi bank) ini adalah sesuatu penambahbaikan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan yang baharu,” ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) kebangsaan.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng turut menasihatkan pihak yang sengaja atau terlupa membuat pelaporan cukai agar segera ke mana-mana kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), memandangkan esok iaitu 30 September 2019 merupakan hari terakhir untuk berbuat sedemikian.

“Hari esok (30 September) adalah hari terakhir untuk mereka nak buat pelaporan mengenai cukai mereka kerana ada pihak lupa untuk melaporkan cukai dan mereka akan dikenakan penalti antara 45 peratus hingga 200 peratus.

“Mereka yang masih belum membuat pelaporan, sila buat esok, walaupun belum disahkan, masih dikira sah laku (untuk mengelak risiko dikenakan penalti),” serunya yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI