GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa cakna akan kebajikan dan isu jaringan keselamatan sosial rakyatnya dalam menangani insiden ‘jatuh miskin mengejut’ luar jangka.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pagi ini.
Menurut Siew Khim, jaringan keselamatan sosial yang disediakan adalah melalui bantuan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang disalurkan kepada keluarga atau individu yang memerlukan bantuan segera untuk menampung keperluan asas harian.
“Antaranya penyaluran bantuan melalui Tabung Bantuan Segera Negeri (TBSN) dalam bentuk wang tunai secara ‘one-off’ dengan jumlah maksimum sebanyak RM500.
“(Di samping itu), bantuan kewangan melalui skim Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES) (juga disalurkan) bertujuan untuk meringankan beban keluarga yang tidak berkemampuan yang mana Pendapatan Per Kapita (PPK) RM260 digunakan bagi menentukan kelayakan dan pertimbangan skim BAES.
“(Dan) sekiranya layak, kadar bantuan BAES yang akan dibayar adalah berdasarkan kadar minimum bernilai RM100 sehingga RM1,300 maksimum sebulan, mengikut kaedah pengiraan yang ditetapkan Dasar BAES,” jelas ADUN Sungai Pinang itu.
Tambah Siew Khim, terdapat juga bantuan peruntukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang dilaksanakan melalui setiap JKM Negeri yang boleh dipohon mengikut keperluan dan kelayakan.
“Antaranya, Tabung Bantuan Segera Persekutuan (TBSP); Bantuan Kanak-kanak (BKK); Bantuan Warga Emas (BWE); Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU); Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB); Bantuan Penjagaan OKU Terlantar / Pesakit Kronik Terlantar (BPT); Bantuan Alat Tiruan/Sokongan dan Bantuan Anak Pelihara (BAP).
“Kerajaan Negeri juga mengambil langkah proaktif membantu golongan di bawah kategori B40 seperti meampung kos perbelanjaan atau membaik pulih kediaman di bawah Program Pembaikan Rumah Rakyat Termiskin; Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang menawarkan pelbagai modal permulaan perniagaan; Skim Pinjaman Harapan di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Program i-Sejahtera yang merupakan penghargaan berbentuk kewangan secara setahun sekali.
“Malah, Kerajaan Negeri juga menerima baik inisiatif Kerajaan MADANI yang memperkenalkan Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi MADANI) untuk mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi pada peringkat komuniti,” katanya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING