BATU UBAN – Kerajaan Negeri komited memperuntukkan lebih daripada RM417 juta sumbangan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang, kaum dan juga agama di negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya senantiasa menjadikan pemerkasaan kebajikan sebagai pegangan utama.
“Cakna Kebajikan Rakyat, tema ini merupakan tunjang pertama dalam Manifesto Perpaduan 2023 Pulau Pinang selain 15 yang lain.
“Berpegang kepada prinsip ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited memperuntukkan lebih daripada RM417 juta sumbangan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang, kaum dan juga agama demi merealisasikan Visi Penang2030 sebagaimana digagaskan,” ujarnya pada Majlis Makan Perdana Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-33 Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) dan Majlis Penutupan Sukan Anak-anak Yatim Malaysia (SUKYA) Ke-12 di sini sebentar tadi.
Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama isteri, Toh Puah Khadijah Mohd. Nor menjadi tetamu kehormat pada majlis malam tersebut.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Naib Cancelor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Presiden PEYATIM, Yang Mulia Prof. Dato’ Dr. Haji Tengku Mahmud Mansor serta dif-dif jemputan yang lain.
Difahamkan seramai 3,000 anak-anak yatim dari seluruh negara akan terlibat dalam penganjuran SUKYA yang mana Pulau Pinang adalah sebagai tuan rumah.
“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Jamuan Makan Malam Perdana Sempena Temasya SUKYA Ke-12 Tahun 2023 Pulau Pinang dan Sambutan Ulang Tahun Ke-33 PEYATIM.
“Tahniah juga kepada semua rumah-rumah kebajikan anak-anak yatim seluruh negara yang mengambil bahagian dalam SUKYA ke–12 yang mana Persekutuan Kebajikan Anak Yatim Islam Negeri Pulau Pinang menjadi tuan rumah kepada acara gemilang yang telah berlangsung selama enam hari ini,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN