Calon 18 edisi Pulau Pinang ‘buru’ 120 belia sertai kursus intensif

Admin
SESI telesidang sempena majlis pelancaran Program Calon18 : Edisi Penang di sini pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Undi18 menganjurkan kursus intensif selama dua bulan mulai November ini, dengan menyasarkan penyertaan maksimum 120 belia serta anak jati negeri berusia 18 hingga 30 tahun.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee pagi tadi berkata bahawa penganjuran program tersebut adalah susulan komitmen serta kejayaan Kerajaan Negeri meminda Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2021 bagi had umur calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun, pada 1 September lepas.

“Kita (Pulau Pinang) menjadi negeri yang pertama menganjurkan kursus seumpama ini sebagai platform yang praktikal untuk belia yang berusia 18 tahun dan ke atas dapat pendedahan sebelum menawarkan diri sebagai calon pada pilihan raya umum (PRU) nanti.

“Sehubungan itu, mereka yang berminat untuk menawarkan diri sebagai calon pada PRU15 boleh menyertai program ini,” jelasnya yang juga ADUN Bagan Jermal dalam telesidang majlis pelancaran Program Calon18 : Edisi Penang di sini pada 8 Oktober 2021.

Turut serta, ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; dan ADUN Batu Uban, A. Kumaresan.

Sebelum pada itu, Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling memberitahu bahawa mereka yang berminat untuk menyertai program tersebut bolehlah mendaftarkan diri sebelum 17 Oktober 2021.

Bagi Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai pula memberitahu bahawa mereka yang menyertai kursus intensif tersebut akan didedahkan mengenai selok-belok mengenai perbelanjaan negeri dan persekutuan; prosedur Parlimen; pembiayaan politik; agenda pembaharuan institusi; polisi-polisi masa depan berkaitan belia; serta persiapan lazim sebelum seseorang menawarkan diri sebagai calon dalam PRU15 nanti.

“Program ini terhad kepada 120 peserta…anak jati kelahiran Pulau Pinang atau tinggal di negeri ini layak untuk menyertai Program Calon18,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : KEVIN VIMAL