Camera Museum pertama negara di George Town

Oleh: MARK JAMES


GEORGE TOWN – Pembukaan Camera Museum dekat Lebuh Muntri di sini diharap dapat menarik lebih ramai pelancong, khususnya peminat bidang fotografi ke Tapak Warisan Dunia George Town UNESCO.

Pengarah Camera Museum, Najieb Ariff Nazir Ariff berkata, muzium seumpama itu adalah pertama diwujudkan di tanah air ini.

Justeru, beliau berkata, pengunjung Camera Museum berpeluang menikmati kekayaan sejarah kamera yang boleh dikesan kembali sejak abad ke-19, dengan sebahagian daripada koleksi kamera antik di muzium tersebut diperoleh dari serata dunia, termasuk Jepun, Rusia, Cina dan Amerika Syarikat.

Selain itu, katanya lagi, pengunjung turut berpeluang mengendalikan kamera antik yang sebenar serta menghayati sejarah penerajuan kamera melalui empat bilik khas, iaitu Obscura Room, Unique Collection Room, Dark Room dan Pinhole Room.

“Saya berpendapat bahawa pembukaan Camera Museum akan menjadi aset tarikan pelancongan yang bagus.

“(Ini) kerana, ia adalah yang pertama berdedikasi untuk menceritakan sejarah ciptaan kamera serta mempunyai pameran interaktif yang pertama di Malaysia”, kata Najieb di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian pembukaan Camera Museum disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, kamera bukan sekadar alat menangkap gambar, tetapi, sebagai peralatan itu adalah salah satu mekanisme menyebarkan idea, emosi dan kreativiti satu-satu pihak.

Justeru, katanya lagi, Camera Museum mampu berperanan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Inisiatif sekumpulan usahawan muda untuk membuka dan mengendalikan muzium ini dalam mempamerkan keindahan George Town juga haruslah dipuji.

“Saya berasa bangga, Camera Museum ini menjadi satu lagi tambahan tarikan unik negeri kita,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Difahamkan, Camera Museum ditubuhkan antara lain demi memperkayakan bidang fotografi tempatan dan antarabangsa di negeri ini.
Lebih 300 buah kamera unik dan entik dipamerkan di dalam Camera Museum yang berkeluasan lantai 31,500 kaki persegi itu.

Pengendali Camera Mesuem tersebut, difahamkan, menganjurkan pameran, acara-acara, ceramah dan bengkel bagi merangsang penukaran kesenian, kebudayaan dan kreativiti dalam kalangan pengunjung yang hadir.

Camera Museum tersebut menerima kira-kira 10,000 pelancong sejak prospek pelancongan itu dibuka pada Jun tahun lepas.

Camera Museum itu dibuka tiap-tiap hari, bermula jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang, dan hubungi Venus Khor melalui emel, [email protected] untuk pertanyaan lanjut.