GEORGE TOWN – Pulau Pinang menerima pengiktirafan sebagai ‘Negeri Cashless 2024’ selepas berjaya mencapai kadar transaksi digital melebihi 95 peratus dari Januari sehingga Mei 2024.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dari 1 Januari hingga 31 Mei lalu, semua jabatan dan agensi pemungut hasil Kerajaan Negeri berjaya memungut sebanyak 5,490,371 kadar transaksi atau 95.31 peratus daripada jumlah bilangan transaksi keseluruhan.
Beliau berkata, jumlah itu membabitkan kutipan hasil yang diperoleh sebanyak RM516,062,766.73 atau 65.07 peratus daripada keseluruhan nilai kutipan hasil.
“Gembira saya umumkan bahawa Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang berjaya menunjukkan konsistensi mencapai piawaian untuk menjadi negeri cashless yakni melebihi 95 peratus kadar transaksi tanpa tunai,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Hari Tanpa Tunai Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 dekat sini sebentar tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Rosli Isa; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Baderul Amin Abdul Hamid; Setiausaha Bahagian Bahagian Kerajaan Tempatan, Muhamad Husni Mahmud serta Pengarah Syarikat PayNet Sdn. Bhd., Firdaus Ghani.
Sehubungan itu, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan 97 peratus pembayaran secara tanpa tunai akan dapat dicapai menjelang tahun 2030.
“Bagi menyokong hasrat tersebut, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Kempen Hari Tanpa Tunai Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang selama tiga bulan, pada setiap hari Jumaat bermula 1 Ogos sehingga 31 Oktober 2024.
“Orang awam yang ingin melakukan sebarang pembayaran di kaunter-kaunter pejabat kerajaan pada setiap hari Jumaat hendaklah membuat pembayaran secara kaedah e-pembayaran yang disediakan seperti e-wallet, QR Code, online banking atau terminal kad debit/kredit.
“Selain itu, orang awam juga boleh membuat pembayaran di smart kiosk dan secara atas talian melalui portal kerajaan seperti portal e-Bayar, Aspire, MBSPPay, Cyber Counter dan lain-lain,” katanya.
Menurut Kon Yeow, bagi meneruskan agenda transformasi digital di negeri ini, Kempen Hari Tanpa Tunai Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 turut memfokuskan untuk mentransformasikan peniaga kecil dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Secara tidak langsung, pelaksanaan perkhidmatan e-pembayaran ini juga akan dapat meningkatkan hasil kutipan Kerajaan Negeri dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa Pinang Digital Penang Corporation yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri turut giat dalam mempromosikan proses pendigitalan ekonomi negeri ini kepada peniaga dan rakyat melalui pendekatan lebih mesra pengguna.
“Kerajaan Negeri turut mengharapkan kerjasama daripada semua pengguna dan peniaga untuk sama-sama menyokong inisiatif pembayaran tanpa tunai ini dan seterusnya meningkatkan daya saing untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar,” ujarnya.
Pada masa sama, Kon Yeow turut mengumumkan pembiayaan sebanyak RM500,000 oleh pihak PayNet bagi tujuan promosi dan hadiah wang tunai bagi pertandingan Kempen Hari Tanpa Tunai Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Jabatan pemenang dibahagikan kepada tiga kategori kumpulan seperti berikut:
– Kategori A: Jabatan yang berjaya mengutip jumlah bilangan transaksi melalui e-pembayaran pada tahun 2023 melebihi 30,000 transaksi;
– Kategori B: Jabatan yang berjaya mengutip jumlah bilangan transaksi melalui e-pembayaran pada tahun 2023 antara 1,000 hingga 30,000 transaksi; dan
– Kategori C: Jabatan yang berjaya mengutip jumlah bilangan transaksi melalui e-pembayaran pada tahun 2023 kurang daripada 1,000 transaksi.
“Untuk makluman semua juga, sebanyak RM200,000 akan diperuntukkan sebagai hadiah wang tunai kepada jabatan pemenang.
“Adalah diharapkan agar semua jabatan serta agensi dapat mempromosi dan menjayakan kempen penggunaan perkhidmatan e-pembayaran di jabatan masing-masing untuk meraih hadiah-hadiah wang tunai tersebut,” ujarnya.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Kon Yeow berkata bahawa walaupun Kerajaan Negeri menetapkan sasaran 97 peratus, tetapi MBPP telah berjaya mencapai 100 peratus jumlah transaksi pembayaran tanpa tunai.
“Namun begitu, kita tidak boleh rasa terlalu selesa kerana masih banyak usaha perlu dilakukan untuk menjadikan pembayaran tanpa tunai sebagai amalan biasa di tempat-tempat awam, selain di agensi-agensi kerajaan.
“Justeru, kempen tanpa tunai yang dilancarkan pada hari ini adalah sebagai penggalak untuk meningkatkan lagi amalan pembayaran tanpa tunai di negeri ini.
“Kerajaan Negeri juga akan menggalakkan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan warga emas seperti menyediakan kursus berkaitan penggunaan teknologi sepertimana yang dilsanakan oleh Digital Penang,” katanya.
Sementara itu, Mooi Lye semasa berucap sebelum itu memberitahu bahawa sebanyak 120 inisiatif pintar telah dan akan dilaksanakan di negeri Pulau Pinang setakat ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 68 inisiatif telah dilaksanakan, 32 inisiatif sedang dilaksanakan dan 20 inisiatif lagi akan dilaksanakan di negeri ini,” ulasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS