Capal, seni warisan Melayu tidak lapuk ditelan zaman

Admin

CAPAL merupakan alas kaki tradisional bagi masyarakat Melayu dan digunakan secara meluas pada satu ketika dahulu, malah ia kekal dipakai dalam kehidupan seharian sehingga era 1980-an.

Sehingga kini, pemakaian capal masih lagi diminati oleh sebahagian masyarakat bukan sahaja orang Melayu tetapi juga India dan Cina terutamanya untuk majlis istimewa seperti perkahwinan.

Capal Jago Gemilang (Capal Jago) yang beroperasi di pekan Kepala Batas merupakan antara penghasil capal tradisional menggunakan kulit haiwan yang terkenal sejak tahun 1958 dan masih ‘hidup’ sehingga ke hari ini.

Baru-baru ini, Capal Jago Gemilang Enterprise turut menerima Anugerah Cemerlang Warisan 100 Tahun daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS berkesempatan menemui pemiliknya BADRIL SHAHIDAN HASHIM, 41, untuk mengetahui rahsia di sebalik kejayaan Capal Jago mengekalkan perniagaan sehingga kini.

Warisi perniagaan bapa

Memulakan bicara, Badril Shahidan berkata bahawa beliau mengambil keputusan meneruskan legasi arwah bapanya, Hashim Hassan untuk menghasilkan capal tradisional sejak tahun 2000 lagi.

Menurut beliau, arwah bapanya yang meninggal dunia pada 2011 menguruskan perniagaan membuat capal lebih enam dekad dan ia menjadi sumber pendapatan untuk membesarkan mereka lima beradik.

Badril Shahidan Hashim sedang menyiapkan salah satu tempatah yang diterima.

“Sebenarnya, Capal Jago diasaskan di Pulau Pinang (bahagian pulau) sekitar tahun 1948 lagi sebelum berpindah ke Kepala Batas memandangkan Pulau Pinang pada ketika itu merupakan kawasan bebas cukai.

“Status bebas cukai ini menyebabkan urusan perniagaan seperti pengeposan barangan menjadi sedikit bermasalah kerana perlu memenuhi syarat-syarat tertentu di samping beberapa lagi masalah lain.

“Oleh itu, arwah abah pindahkanpremis perniagaan ke Kepala Batas pada tahun 1958 iaitu di Jalan Perak dan premis kami kekal di sini sehingga ke hari ini,” katanya.

Melakukan hampir semua kerja itu secara sendirian, Badril Shahidan menyatakan bahawa beliau sanggup memendam impiannya untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi semata-mata mahu mewarisi perniagaan tersebut.

“Walaupun saya berpeluang menyambung pelajaran ke university tetapi saya lebih memilih untuk mempelajari kemahiran pembuatan capal ini sepenuhnya daripada arwah abah.

“Ini kerana sesuatu pekerjaan yang melibatkan seni tidak boleh hanya dipelajari berdasarkan teori yang terkandung di dalam buku sahaja, sebaliknya memerlukan latihan berterusan daripada mereka yang berkemahiran.

Antara jenis capal yang dihasilkan.

“InsyaAllah sekiranya ada rezeki untuk saya menyambung pelajaran pada masa akan datang, saya mungkin akan lakukannya,” jelasnya.

Kini, capal buatan tangan Badril Shahidan bukan sahaja menjadi sebutan di negeri Pulau Pinang, bahkan tersohor hingga ke luar negara seperti Thailand, Brunei, Australia dan banyak lagi.

Menurut Badril Shahidan, capal yang dihasilkannya itu dikategorikan mengikut jenis serta kualiti dan dijual pada harga antara RM160 hingga RM450 sepasang.

“Capal paling mahal ialah Capal Diraja kerana ia dijahit menggunakan sehingga 11 lapisan kulit dan mengambil masa sehingga 16 jam untuk disiapkan (sepasang).

“Selain capal tersebut, saya menghasilkan tiga lagi capal iaitu jenis Bendahara, Temenggung dan Putera untuk kanak-kanak selain jenis Mahsuri dan Tun Teja untuk kegunaan wanita,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu lagi.

Digemari pemimpin negara

Menurut Badril Shahidan, walaupun turut terkesan dengan ‘tempias’ pandemic COVID-19 hingga menjejaskan perniagaan Capal Jago, namun beliau bersyukur kerana masih menerima tempahan khususnya daripada kalangan penggemar produk buatan tangan itu.

“Alhamdulillah… permintaan terhadap capal tetap menggalakkan lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidilfitri,” ujarnya.

Ketika ini, kebanyakan capal yang dihasilkan Badril Shahidan dipasarkan secara dalam talian selain boleh diperoleh secara terus di kedainya dekat Kepala Batas.

Badril Shahidan menunjukkan kulit haiwan yang diimport khas dari Australia untuk menghasilkan capal.

“Bagi saya, capal buatan tangan ini sama seperti perniagaan lain kerana tetap mempunyai saingannya yang tersendiri.

“Bezanya ialah bagaimana kita menjaga identiti (capal) kita selain cara kita menjaga hubungan dengan pelanggan,” katanya yang mampu menyiapkan sehingga 25 capal biasa dalam tempoh sehari ketika ini.

Mengekalkan nama perniagaan arwah bapanya iaitu ‘Capal Jago’, Badril Shahidan menyatakan bahawa arwah bapanya pernah menghasilkan tempahan capal daripada pemimpin utama negeri dan negara.

“Hasil kerja arwah abah sangat menarik, kemas dan selesa hingga ia menjadi tarikan pemimpin negara pada ketika itu.

“Sejak saya berusia lapan tahun, saya mula memerhatikan selain mempelajari cara arwah abah membuat capal. Akhirnya, saya dapat membantu arwah abah secara perlahan-lahan ketika berusia 10 tahun.

“Apabila dia sudah tidak sihat, saya ambil keputusan untuk teruskan legasinya dan kini, sudah lebih 20 tahun saya menguruskan perniagaan ini,” katanya.

Perancangan dan harapan

Mengulas lanjut, Badril Shahidan memberitahu bahawa beliau sentiasa mengikut rentak perubahan fesyen capal supaya pelanggan tidak jemu dan tertarik untuk menggayakannya terutama pada hari raya.

“Fesyen capal daripada dulu hingga kini memang ada perubahan tetapi dari segi reka bentuknya, saya masih ikuti cara arwah abah,” ulasnya.

Menceritakan mengenai tempahan raya, Badril Shahidan berkata bahawa beliau hanya mampu menghasilkan 500 pasang capal sahaja atas faktor kekurangan tenaga kerja, masa dan mahu menjaga kualiti.

Cap dagang yang diwarisi daripada arwah bapa.

“Saya tiada pekerja dan hanya melakukannya seorang diri. Saya tidak boleh terima banyak tempahan malah ketika ini, saya hanya tidur sekitar tiga jam demi menyiapkan tempahan.

“Tambahan pula, saya perlu menjaga kualiti penghasilan capal-capal ini…jadi, menjelang bulanRamadan saya sudah tidak lagi menerima tempahan,” jelasnya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Badril Shahidan berkata bahawa beliau teringin untuk meningkatkan tempahan produk Capal Jago namun perkara itu memerlukan mesin khas untuk membentuk capal.

“Saya harap kerajaan dapat menyediakan geran berbentuk mesin stamping yang dianggarkan berharga kira-kira RM25,000 kepada peniaga yang menghasilkan produk warisan seperti ini.

“Dengan adanya mesin ini, produk (capal) boleh dihasilkan dengan lebih cepat sekali gus dapat meningkatkan lagi produktiviti,” ujarnya.

Menyentuh mengenai harapan pula, Badril Shahidan berharap agar perniagaan tersebut dapat diwariskan kepada anak-anaknya pada masa akan datang.

“Setakat ini, anak saya yang berusia 13 tahun ada menunjukkan minat selain ada kalanya dia datang ke sini untuk membantu menyiapkan capal,” katanya mengakhiri bicara.