Cat semula flat Taman Abidin berikan keceriaan

Admin

DATUK KERAMAT – Exco ‘Caretaker‘ Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo hari ini mengumumkan permulaan kerja-kerja pengecatan semula rumah pangsa Taman Abidin di Jalan Perak dekat sini.

 

Menurutnya, kerja-kerja pengecatan kesemua lima blok lima tingkat itu bakal dilaksanakan secara berfasa termasuk kerja-kerja penurapan jalan di kawasan tersebut.

 

JAGDEEP Singh Deo (depan, tengah) pada sidang media pemakluman permulaan kerja-kerja pengecatan semula blok di sini.

 

“Hari ini, kita akan mula mengecat semula sebuah blok dahulu dan akan lain-lain blok akan dilakukan secara berperingkat.

 

“Kos bagi kerja-kerja pengecatan ini adalah sebanyak RM120,000 yang mana Kerajaan Negeri membiayai 20 peratus (kos daripada keseluruhan kos) adalah melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP).

 

(Dan) saya akan berusaha membantu penduduk dari segi pembiayaan melalui saluran peruntukan lain sama ada melalui Ahli Parlimen atau melalui Kerajaan Persekutuan.

 

“Saya harap dengan pengecatan semula ini akan memberi keceriaan di kawasan ini,” ujarnya pada sidang media di sini pagi tadi.

 

KEADAAN lima blok di Taman Abidin kini sebelum pengecatan semula.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Bisnes Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Fakhurrazi Ibnu Omar; Ketua Pegawai Operasi LPNPP, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff serta beberapa penduduk setempat.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga penyandang bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat memaklumkan bahawa permohonan daripada penduduk untuk pengecatan semula telah diluluskan lebih awal.

 

 

Kelulusan peruntukan adalah dua bulan lalu dan hari ini bakal dimulakan (kerja-kerja pengecatan semula),” katanya yang memberitahu bahawa kelulusan penurapan jalan turut diluluskan.

 

 

Dalam pada itu, Pengerusi Koperasi Melayu Pulau Pinang (KMPP), Abdul Ravul KS Abdul Majeed yang mewakili penduduk di flat Taman Abidin, ketika ditemui menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sering membantu penduduk di sini.

 

Difahamkan, sebelum ini, Kerajaan Negeri pernah menyalurkan peruntukan bagi kerja-kerja menaik taraf surau As-Saajidin di sini dengan peruntukan RM20,000 dan lain-lain kerja penyelenggaraan kritikal berjumlah sehingga RM300,000.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD