GEORGE TOWN – Pembukaan cawangan keenam Dking di Jalan Macalister dekat sini telah memperkaya tarikan gastronomi Pulau Pinang sebagai destinasi utama bukan sahaja kepada penggemar durian terbaik malah pencinta kulinari berasaskan ‘Raja Buah’.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata demikian pada majlis perasmian pembukaan cawangan Dking – ‘Durian Experience Centre’ di sini pada 10 Februari 2025.
![img 20250210 wa0013](https://www.buletinmutiara.com/wp-content/uploads/2025/02/IMG-20250210-WA0013-500x334.jpg)
Menurut Hon Wai, Pulau Pinang bukan sahaja dikenali kerana memiliki pelbagai daya tarikan seperti Tapak Warisan Dunia UNESCO; Rizab Biosfera UNESCO; pantai yang memukau serta lain-lain keunikan malah popular kerana mempunyai variasi durian terbaik.
“Bermula akhir bulan Mei hingga Ogos, pengunjung dari negara China, Hong Kong, Indonesia dan Singapura datang ke Pulau Pinang semata-mata untuk menikmati durian bertaraf dunia.
“Durian Pulau Pinang telah lama menjadi tarikan, ibarat syurga bagi pencinta durian dengan keistimewaannya yang terletak pada proses pematangan semula jadi yang akan memberikan tekstur serta rasa yang tiada tandingan, berbeza dengan durian sejuk beku yang sering kehilangan keunikan rasanya.
“(Dan) Pulau Pinang amat bangga kerana menawarkan beberapa variasi terbaik termasuk Duri Hitam, Udang Merah, Musang King, dan banyak lagi yang sentiasa menjadi rebutan,” ujarnya pada majlis berkaitan di sini.
![img 20250210 wa0012](https://www.buletinmutiara.com/wp-content/uploads/2025/02/IMG-20250210-WA0012-500x334.jpg)
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Benjy Ang Ming Quan; Pengarah Dking (Wilayah Utara) Bernard Seow; Pengarah Urusan Duricious Sdn. Bhd. yang juga pengasas bersama Dking, Simon Chin; Leron Lee dan K.J. Lee serta rakan Kongsi, Johnny Lee dan Naib Presiden Malaysia Inbound Chinese Association (MICA), Jessie Ong;
Buletin Mutiara difahamkan, selain durian segar, Dking juga menawarkan pelbagai produk berasaskan durian yang berkualiti, termasuk cendol durian, kopi durian dan paling laris adalah dodol durian.
![img 20250210 wa0011](https://www.buletinmutiara.com/wp-content/uploads/2025/02/IMG-20250210-WA0011-500x334.jpg)
Dalam pada itu, Simon Chin ketika ditemui memberitahu bahawa perjalanan Dking bermula pada tahun 2009 dan telah berkembang sebagai perniagaan runcit pada 2019 dengan pembukaan cawangan pertama di Petaling Jaya seluas 15,000 kaki persegi.
“Durian, khususnya Musang King, bukan sekadar buah biasa, ia kini menjadi kebanggaan negara dan diiktiraf sebagai durian istimewa Malaysia.
“Malah ada pelancong dari Hong Kong yang sanggup terbang ke sini (Malaysia) semata-mata untuk menikmatinya”, katanya yang pernah membekalkan durian kepada deleigasi luar negara antaranya Presiden China, Xi Jinping dan bekas Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.
Pada majlis sama, tetamu kehormat dan wartawan dibawa melawat ke ‘Durian Experience Centre’ sambil menikmati pelbagai jenis durian yang ditawarkan dan bergambar di hadapan arca ‘Durian Black Thorn’ setinggi kira-kira 13 kaki di pintu masuk outlet berkenaan.
![img 20250210 wa0014](https://www.buletinmutiara.com/wp-content/uploads/2025/02/IMG-20250210-WA0014-500x375.jpg)
Buletin Mutiara turut berkesempatan bertemu seorang pengunjung yang merupakan pesara pembina bot dari Australia, John Payne yang ditemani isterinya, Ahleyce Tan, anak kelahiran Pulau Pinang.
Ketika ditanya pendapatnya mengenai durian yang dihidangkan, beliau yang fasih berbahasa Malaysia dan Hokkien, tersenyum lalu berkata dengan penuh semangat “Sedap! Saya telah menikmati durian selama 20 tahun.”
Oleh : BATRISYIA IDRUS Gambar : LIM MIN JUN