GEORGE TOWN – Central Muslim Society (CMS) hari ini mengukir sejarahnya tersendiri apabila berjaya memiliki Community Digital Academy (CDA) Resource Center tersendiri dan pertama di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kewujudan CDA Resource Center yang bakal lengkap sepenuhnya pada awal tahun 2024 sudah pastinya akan memberi nilai tambah dan menjadi pelengkap kepada usaha Kerajaan Negeri yang amat konsisten dalam mempromosikan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
“CDA seperti diketahui umum telah lama beroperasi dan berkolaborasi dengan STEM Pulau Pinang, universiti-universiti dan sekolah-sekolah di negeri ini untuk menganjurkan pelbagai program berteraskan aspek-aspek berkaitan untuk para pelajar di negeri kita khususnya komuniti B40.
“Saya percaya, dengan pelbagai program dan pengisian yang bakal diaturkan oleh CDA, ia akan memberi impak yang positif dan optimum kepada kelompok sasaran kita dan sekaligus meningkatkan lagi jumlah pelajar celik STEM di negeri ini,” ujarnya pada Majlis Pelancaran CDA Resource Center di Bangunan Hidayatul Islam, Jalan Kedah dekat sini petang tadi.
Hadri sama, Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan Presiden Central Muslim Society, Mohamed Hasan Othuman.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota memberitahu bahawa untuk kemajuan masa depan yang lebih rancak, pemerkasaan sektor ekonomi digital adalah perlu dilakukan.
“Selama 50 tahun ini kita bergantung kepada sektor industri, kini kita berada di satu persimpangan, untuk memilih hala tuju seterusnya.
“Sektor pembuatan, industri, pelancongan, masih menjadi tonggak ekonomi negeri, tetapi untuk merancakkan masa hadapan, saya rasa agenda ekonomi digital dan segala berkaitan dengan teknologi perlu diberi perhatian sebagai gelombang yang baharu bagi memacu ekonomi.
“Jadi hala tuju masa depan Pulau Pinang tidak boleh dipisahkan daripada ekonomi digital dan pemakaian teknologi yang canggih bagi menggerakkan ekonomi kita ke hadapan,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS