CEMACS, kekayaan tersembunyi yang wajib diterokai

Admin

MUNGKIN masih ramai yang belum mengetahui bahawa di Pulau Pinang terdapat kawasan yang menempatkan kepelbagaian khazanah alam semula jadi terutamanya berkaitan hidupan marin. Bagi mereka yang meminati sains atau pencinta alam, Pusat Kajian Samudera & Pantai (CEMACS), Universiti SainsMalaysia (USM) merupakan lokasi wajib untuk diterokai.

Terletak di sebelah pantai barat laut Pulau Pinang dekat Teluk Aling, CEMACS pastinya menjanjikan pengalaman yang tersendiri buat para pengunjung. Ditubuhkan pada tahun 1978 dan merupakan stesen penyelidikan marin tertua di negara ini, ia kemudiannya dinaik taraf kepada pusat kecemerlangan yang dikenali sebagai CEMACS pada tahun 1995.

Walaupun masih kurang dikenali, tetapi CEMACS sebenarnya telah berjaya menarik kehadiran ramai saintis asing dan tempatan bagi menjalankan kerja-kerja penyelidikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Berkumpul di pintu masuk Taman Negara Teluk Bahang.

Baru-baru ini, penulis bersama rakan-rakan dari Bahagian Penerangan Pejabat Ketua Menteri diketuai Pengarah Komunikasi, Yap Lee Ying berpeluang mengadakan lawatan berpandu ke CEMACS dan ia merupakan kunjungan pertama bagi sebahagian besar daripada kami.

Kami berkumpul di jeti Teluk Bahang seawal jam 9 pagi dan perlu mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran disediakan sebelum memulakan perjalanan selama kira-kira 45 minit merentasi alam semula jadi untuk sampai ke CEMACS.

Selain menghirup udara segar dan menikmati pemandangan pantai berpasir yang indah, pelbagai spesies tumbuhan hijau ternyata memberikan kenyamanan kepada kami sepanjang perjalanan.

Selain berjalan kaki, pengunjung juga boleh memilih untuk menaiki bot dari jeti Teluk Bahang yang mengambil masa kira- kira lima minit untuk sampai ke CEMACS.

Laluan pejalan kaki untuk ke CEMACS.

 

Ketibaan kami disambut mesra oleh kakitangan bertugas dan kami kemudiannya dibawa ke bilik lembaga pengarah bagi sesi taklimat oleh Pengarah CEMACS, Datuk Prof. Dr. Aileen Tan Shau Hwai.

Beliau menjelaskan bahawa CEMACS menjadi daya tarikan bukan sahaja kepada institusi tempatan tetapi juga peringkat antarabangsa.

“Kami berada dalam persekitaran bersih iaitu di kawasan taman negara yang mana alam semula jadi sangat dilindungi di sini.

Justeru, kebanyakan saintis dari luar negara yang pernah datang ke sini menyatakan hasrat untuk kembali semula bagi mengkaji hutan simpan dan kehidupan laut.

“Di sini, kami memberi lebih tumpuan terhadap aspek kelestarian akuakultur hijau, biodiversiti dan pemuliharaan ekosistem hidupan laut selaras dengan tiga teras utama CEMACS iaitu ekonomi, alam sekitar serta sosial.

“Walaupun terdapat beberapa universiti lain cuba mengikuti jejak langkah USM dengan menubuhkan pusat marin tetapi CEMACS tetap menonjol kerana kami mempunyai koleksi haiwan invertebrate terbesar di negara ini.

“Sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan pula, kami juga berkongsi pengetahuan dalam mempromosikan pendidikan kepada pelajar dan masyarakat,” ujarnya.

Kakitangan CEMACS memberikan penerangan berkaitan spesies batu karang.

Tambah Shau Hwai, CEMACS juga turut memberi tumpuan terhadap aktiviti ekopelancongan untuk membantu penduduk di negeri ini menjana pendapatan.

Hal ini kerana menurutnya, kebanyakan pelancong yang datang ke Pulau Pinang bukan sahaja mahu menikmati makanan lazat semata-mata bahkan mereka juga ingin melihat sesuatu yang berbeza, dan inilah peranan dimainkan oleh CEMACS.

“Kami juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempromosikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dengan mengadakan bengkel pendidikan untuk pelajar seawal usia lima tahun.

“Dan pada tahun ini sahaja, kami menerima kunjungan pelajar luar negara antaranya, dari Glasgow, Kiel University of Germany, Hong Kong University, North Eastern University dari Boston dan banyak lagi,” ulasnya.

Difahamkan, CEMACS juga turut menyediakan kemudahan penginapan iaitu lima unit asrama yang boleh menempatkan maksimum 80 orang dan 12 unit flat kecil dengan kapasiti maksimum 40 penghuni yang mana tempahan boleh dibuat melalui dalam talian, dua minggu dari tarikh lawatan.

Antara kemudahan penginapan yang tersedia di CEMACS.

Mengulas lanjut, Shau Hwai memberitahu bahawa CEMACS juga turut menyumbang kepada masyarakat dengan membantu melatih nelayan serta komuniti setempat menerusi program penternakan tiram bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Tiram sebelum ini dianggap sebagai makanan laut yang tinggi kolesterol, tetapi ia sebenarnya mempunyai kadar kolesterol rendah dan merupakan makanan sihat,” ujarnya.

Pada kunjungan tersebut, kami turut dibawa melawat ke Crustacean Research Lab, Marine Invertebrate Collection Centre, Microplastic Lab dan Hatchery Centre.

Banyak ilmu yang kami peroleh daripada Timbalan Pengarah CEMACS, Dr. Annette Jaya Ram; pensyarah, Dr. Abe Woo Sau Pinn dan Dr. Norlaila Mohd. Zanuri; pegawai penyelidik, N. Nithiyaa serta rakan-rakan mereka mengenai ketam, batu karang, obor- obor, tiram, rumpai laut, gamat, udang dan pelbagai lagi spesies hidupan marin.

Perkara yang sangat menarik perhatian kami di pusat pengumpulan invertebrate adalah kewujudan tapak sulaiman yang mempunyai enam lengan dikenali sebagai ‘Star of Penang’ (Luidia Penangensis) yang pertama kali ditemui pada tahun 1891 dan hanya di Pulau Pinang oleh de Loroil.

‘Star of Penang’ (Luidia Penangensis) yang pertama kali ditemui pada tahun 1891 dan hanya di Pulau Pinang oleh de Loroil.

Mengakhiri lawatan tersebut, kami dihidangkan dengan makan tengah hari yang lazat sebelum bertolak pulang menaiki bot ke jeti Teluk Bahang.

Bagi penulis, lawatan ini bukan semata-mata untuk merapatkan hubungan antara rakan-rakan sekerja malah ia juga turut memberikan pengalaman yang mengagumkan khususnya berkaitan kepentingan hidupan marin.

Terima kasih diucapkan kepada Dr. Aileen Tan (Shau Hwai) dan seluruh kakitangan CEMACS yang berusaha mengekalkan biodiversiti serta melindungi alam semula jadi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & YAP LEE YING