Cemerlang ke peringkat dunia, dua pemain bola tampar pantai terima sumbangan ADUN

PERMATANG PASIR – Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penanti yang akan mewakili Malaysia di Kejohanan Dunia Bola Tampar Pantai Bawah 19 Tahun menerima sumbangan tunai daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil pagi tadi.

 

 

Kedua-dua pelajar tersebut, Farwizah Aina Ahmad Nizar, 18 dan Nur Auni Maisarah Shamsul Rizal, 15, dijadualkan berlepas ke Turki pertengahan September ini.

 

 

“Bagi pihak DUN Permatang Pasir dan Kerajaan Negeri saya ingin menzahirkan kebanggaan kerana mereka ini cemerlang dalam sukan bola tampar pantai dan mengharumkan nama negara sebelum ini.

 

 

“Saya juga rasa bangga sebab ada anak muda mampu bermain sukan yang agak asing di negara kita ke peringkat tertinggi atas semangat disiplin tinggi untuk letakkan diri mereka sebaris pemain handalan dunia,” ujar Muhammad Faiz dalam satu sidang media di Pusat Khidmat DUN Permatang Pasir, Kampung Petani di sini pagi tadi.

 

Turut hadir, rakan sepelatih yang turut cemerlang dalam sukan bola tampar pantai, Noor Aishah Iskandar, 17.

 

 

Ketiga-tiga pemain terbabit ketika bercakap kepada Buletin Mutiara memaklumkan, minat terhadap bola tampar pantai itu hadir hasil dorongan guru mereka sebelum ini.

 

 

Antara kejayaan ditempa adalah menerusi Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan SEA dan kelayakan Sukan Komanwel.

 

 

Farwizah Aina dalam pada itu bertekad untuk lakukan sehabis baik kerana sedar lawan mempunyai saiz fizikal dan pengalaman yang menjadi kelebihan.

 

 

“Kami juga gigih berlatih dua kali sehari dalam memantapkan permainan dan memberikan saingan terbaik pada kejohanan tersebut kelak,” jelasnya lagi.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI