CEO PWDC kini bergelar Dato’

ONG Bee Leng

GEORGE TOWN – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng antara 27 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N.) yang membawa gelaran Dato’ pada hari ketiga Istiadat Penyampaian Pingat dan Kebesaran Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-74 Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Seri Pinang sebentar tadi.

Semasa ditemui di lobi dewan, Beng Leng, 62, menganggap pemberian anugerah itu sebagai suatu pengiktirafan buat seluruh kakitangan agensi negeri tersebut dalam memartabatkan gender wanita di negeri Pulau Pinang.

“Saya berasa pelbagai perasaan, satu berbesar hati, sangat bangga (yang mana) anugerah ini bukan semua wanita terima.

“Selama tempoh tujuh tahun saya menjadi CEO PWDC, segala pencapaian yang dicapai adalah kejayaan bersama, bukan kejayaan saya seorang sahaja.

“Banyak pencapaian ini adalah atas perjuangan wanita dengan sokongan lelaki, dalam menjayakan kerja-kerja yang diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PWDC.

“Saya amat berterima kasih atas penganugerahan ini, saya berharap ia akan terus memberi semangat kepada kita (PWDC) bagi menjayakan agenda kesaksamaan gender,” jelasnya.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim dan Chong Eng (mantan Exco) atas segala sokongan yang diberikan kepada PWDC selama ini.

KEHADIRAN Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (kanan sekali) di lobi Dewan Seri Pinang pada pagi tadi disambut oleh Ketua Menteri (dua dari kanan) dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain.

Buletin Mutiara difahamkan seramai 276 individu disenaraikan menerima pelbagai pingat dan darjah kebesaran daripada TYT pada hari ini iaitu tiga penerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri; empat penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N) yang membawa gelaran Dato’; 17 penerima Darjah Johan Negeri (D.J.N.); tiga penerima Bintang Cemerlang Negeri (B.C.N.); empat penerima Pingat Bakti Setia (P.B.S.); 38 penerima Pingat Kelakuan Terpuji (P.K.T); 77 penerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.); dan 103 penerima Pingat Jasa Masyarakat (P.J.M.).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING