Ceroboh DUN, kesal pertuduhan alternatif lebih ringan

Gambar : BULETIN MUTIARA

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, melahirkan rasa kesal terhadap persetujuan pihak Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang membenarkan pertuduhan alternatif lebih ringan ke atas 16 tertuduh yang bertindak liar dan biadap semasa mencerobohi dan mencemarkan Dewan Mesyuarat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dalam kejadian 21 Mei tahun lalu.

Guan Eng berkata demikian bagi mengulas persetujuan terhadap pertuduhan alternatif dan pengakuan salah yang dimasuki 16 tertuduh berkaitan di dalam kes jenayah No. 85-08-06/2014 dan 85-11-11/2014 di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang Pendakwa Raya lawan Datuk Mohd. Ridzwan Bakar dan 15 lagi pada 11 Mac lalu.

“Difahamkan kesemua 16 orang tertuduh telah, pada asalnya dituduh di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan untuk kesalahan mencerobohi rumah (house trespass) berkaitan dengan insiden pencerobohan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 21 Mei 2014.

“Seterusnya, kami (Kerajaan Negeri) difahamkan bahawa setelah rundingan dengan pihak Ketua Unit Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, satu pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan telah ditawarkan kepada kesemua 16 orang tertuduh.

“Pada 11 Mac 2015, mereka (tertuduh) telah mengaku salah kepada pertuduhan alternatif tersebut dan Makahmah Majistret George Town telah mengenakan hukuman denda RM1,500.00 terhadap 15 orang tertuduh dan RM1,000.00 terhadap seorang (1) tertuduh,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian 21 Mei tahun lalu, sekumpulan lelaki bertindak merempuh pagar utama DUN Pulau Pinang sehingga menceroboh ke dalam dewan persidangan.

Ekoran kejadian tersebut, Speaker DUN, Dato’ Law Choo Kiang telah mengeluarkan kenyataan menyatakan kekecewaannya ke atas insiden pecah masuk ke dalam Dewan yang mulia berkenaan yang mana tidak pernah berlaku sepanjang sejarah DUN di negeri ini, bahkan mencemar sejarah politik di peringkat negara.

Lantaran itu, Guan Eng bagi pihak Kerajaan Negeri ingin mendapatkan penjelasan daripada Abdul Gani sebab pihak pendakwaan telah bersetuju menawarkan pertuduhan alternatif tersebut terhadap tertuduh berkaitan, memandangkan ianya adalah terlalu ringan yang tidak setimpal dengan jenayah berat yang dilakukan.

“Kesalahan menceroboh masuk Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang adalah begitu serius dan satu penghinaan besar kepada simbol demokrasi yang merupakan institusi paling unggul dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Malaysia.

“Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang adalah satu institusi yang seharusnya diberikan penghormatan tertinggi, oleh yang demikian penawaran pertuduhan alternatif tersebut adalah tidak wajar dan susah untuk diterima sama sekali,” tegas beliau.

Beliau dalam pada itu juga ingin mendapatkan penjelasan samada pengadu dalam kes berkenaan, iaitu Speaker DUN Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang telah memberi pandangannya sebelum hukuman dijatuhkan.

“Memandangkan keseriusan kesalahan yang telah berlaku tersebut, kami (Kerajaan Negeri) berharap agar penjelasan dapat diberikan terhadap pertanyaan kami (Kerajaan Negeri) ini.

“Di dalam apa keadaan jua, kami (Kerajaan Negeri) berpendapat bahawa keluhuran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah dicabuli dengan serius. Oleh demikian, hukuman yang telah dijatuhkan adalah tidak memadai dan tidak setimpal dengan jenayah dilakukan.

“Kami (Kerajaan Negeri) juga berharap YBhg. Tan Sri (Abdul Gani) dapat membuat rayuan hukuman ke Makamah Tinggi Pulau Pinang terhadap keputusan tersebut,” ujar Guan Eng.