GEORGE TOWN– Serangan peribadi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow terhadap Ketua Menteri, beberapa ahli Exco dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri dituduh mempunyai kepentingan peribadi kerana mempertahankan keputusan Kerajaan Negeri membina hospital di Jalan Zainal Abidin di sini baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dalam kenyataannya menyatakan bahawa fitnah sebegini adalah satu perbuatan jahat, tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral kerana pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tiada kepentingan peribadi dalam hospital tersebut.
“Kelulusannya adalah semata-mata mahu mengembangkan industri pelancongan perubatan di sini (Pulau Pinang).
“Dengan itu, saya mencabar Teng (Chang Yeow) menunjukkan bukti berhubung dakwaan beliau terhadap Ketua Menteri, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Exco Perancang Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai, Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Danny Law Heng Kiang dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Ng Wei Aik.
“Beliau (Chang Yeow) tidak boleh bertindak macam budak-budak yang baling batu sembunyi tangan,’’ katanya di sini baru-baru ini.
Mansor berkata demikian bagi mengulas tindakan Chang Yeow yang menuduh Ketua Menteri dan beberapa Exco Kerajaan Negeri memiliki kepentingan peribadi berhubung projek membina hospital swasta di Jalan Zainal Abidin.
Tambah Mansor, antara fitnah yang dilemparkan Chang Yeow berhubung isu tersebut adalah :
(1) Lesen hospital swasta penuh telah diluluskan kepada pemohon di Jalan Zainal Abidin sebenarnya hanya surat tanpa halangan diterima pada 12.7.2012 dan bukanlah lesen ;
(2) Bangunan 30 tingkat diluluskan sebaliknya Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) tidak pernah meluluskannya ;
(3) Kerajaan BN memperuntukkan tapak Jalan Zainal Abidin seluas 0.4 hektar untuk perumahan padahal tidak ada suatu pengumuman dalam suratkhabar oleh kerajaan BN sebelum ini. Sebaliknya kerajaan PR memperuntukkan tanah lebih luas sebanyak 4.2 hektar di Jalan S.P. Chelliah iaitu hampir 10 kali ganda lebih besar untuk perumahan mampu milik.
Beliau memberitahu, BN telah menimbulkan perasaan benci dan permusuhan dalam kalangan rakyat Pulau Pinang dengan permainan politik perkauman ekstremis yang menyemarakkan sentimen perkauman dan agama.
“Sehingga kini Teng (Chang Yeow) bersikap mengelak, membisu dan enggan menjawab skandal keuntungan besar dua pemimpin tertinggi UMNO Pulau Pinang sebanyak RM5 juta hasil penjualan 10 ekar tanah milikan 31 tuan punya Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau di sini,’’ tegas beliau.