GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melancarkan Chatbot Chat MBPP Versi Beta 1.0 berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang direka khas untuk memenuhi keperluan komuniti tempatan.
Menurut Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran, Chatbot MBPP berfungsi sebagai pembantu digital atau ‘kaunter 24 jam’ Majlis.
“Ia menyediakan akses segera kepada maklumat penting seperti pengurusan sisa, penyelenggaraan infrastruktur dan jawapan kepada soalan-soalan umum berkaitan perkhidmatan bandar.
“Dengan ini, penduduk tempatan dapat menyelesaikan isu-isu harian mereka dengan lebih cekap dan berkesan.
“Untuk orang awam, chatbot ini membantu mempermudah urusan mereka dengan perkhidmatan bandar kerana aplikasi pintar ink akan memastikan setiap pertanyaan dijawab dengan tepat dan cepat serta mengurangkan keperluan untuk menghadiri pejabat secara fizikal.
“Selain itu, chatbot ini turut berfungsi sebagai panduan maya untuk pelancong, menyediakan maklumat tentang tempat-tempat tarikan, warisan budaya, dan acara- acara tempatan di Pulau Pinang.
“Dengan sokongan ini, pelancong dapat merancang perjalanan mereka dengan lebih baik dan menikmati pengalaman yang lebih lancar dan bermakna semasa berada di sini,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Program Pengenalas Rasmi Gen.AI Chatbot ChatMBPP (Versi Beta 1.0) dekat Perpustakan Digital Pulau Pinang, Jalan Masjid Negeri di sini semalam.
Antara kelebihan chatbot ini juga adalah mampu melayani 100 pertanyaan serentak berbanding chat biasa yang memerlukan masa yang lebih bagi menjawab.
Ulasnya, tranformasi ini adalah sebahagian daripada visi kita untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar raya pintar yang bukan sahaja cekap tetapi juga inklusif.
“Penggunaan teknologi seperti ini membolehkan kita memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, mempertingkatkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat serta mengukuhkan reputasi Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang maju dan mesra teknologi.
“Inisiatif ini turut menjadi bukti komitmen kita untuk menyertai arus perubahan global yang sedang berlaku.
“Dalam dunia di mana teknologi AI terus berkembang pesat, kita tidak boleh ketinggalan dan dengan adanya chatbot AI, kita menunjukkan bahawa Pulau Pinang bukan sahaja bersedia untuk mengikuti perubahan ini tetapi juga untuk menjadi peneraju pada peringkat serantau,” katanya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN