Chong Eng umum RM3 juta bangunkan Pusat Harmoni

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang memperuntukkan RM3 juta untuk membangunkan Pusat Harmoni di bangunan bersebelahan Perpustakaan Kanak-Kanak dekat Jalan Scotland.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata pihaknya berharap projek ini akan menyemarak lagi keharmonian rakyat yang berbilang agama dan kaum.

“Saya berharap dengan adanya Pusat Harmoni ini, kita (Persatuan-persatuan yang bukan agama Islam) boleh memupuk perpaduan melalui program-program yang dianjurkan oleh agama masing-masing….(serta) menggalakkan persatuan-persatuan ini untuk bekerjasama sambil bertukar pandangan untuk menganjurkan aktiviti di Pusat Harmoni ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang ketika melawat tapak projek pemajuan tersebut di sini pada 3 Jun 2019.

Menurut Chong Eng, bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng yang kini merupakan Menteri Kewangan pada April 2018 lepas melancarkan projek Pusat Harmoni ini.

“Bangunan Kuaters Kerajaan Negeri yang bekeluasan 4,300 kaki persegi telah diubah suai dan ditambah baik sebagai pejabat urusetia dengan beberapa komponen tambahan.

“Sebuah struktur bangunan tambahan yang bekeluasan 2,800 kaki persegi telah dibangunkan bersebelahan Pusat Harmoni (Bangunan Annex) untuk tujuan Dewan Komuniti,” katanya kepada pemberita.

Tambah beliau, Pusat Harmoni yang berkeluasan 7,100 kaki persegi mampu memuatkan sebanyak 330 orang pada satu masa.

ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Se Zen juga turut hadir semasa melawat tapak projek pemajuan tersebut.

Oleh: STI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI