Chong Wei, Nicol atlit terbaik

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

LEE Chong Eng (tiga dari kiri) mewakili Lee Chong Wei menerima anugerah tertinggi daripada Abdul Rahman Abbas (tengah) sambil diperhatikan Lydia Ong Kok Fooi (kiri), Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman (dua dari kiri), Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain (dua dari kanan), dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus (kanan sekali).

GEORGE TOWN – Atlit kebangsaan, Lee Chong Wei dan Nicol Ann David, masing-masing dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Terbaik Pulau Pinang 2010 pada Majlis Anugerah Sukan Perdana Tuan Yang diPertua Negeri baru-baru ini.

Chong Wei yang merupakan anak jati Pulau Pinang telah dinobatkan Anugerah Perdana Atlit Paling Cemerlang 2010 dan pernah menerima anugerah yang sama sebanyak empat kali sejak mula diperkenalkan pada tahun 2004.

Bagaimanapun, Chong Wei dan Nicol yang kini berada di Macau dan Amsterdam diwakili ahli keluarga masing-masing.

Bagi Desmond David yang mewakili anaknya Nicol berkata, beliau berharap dengan kemenangan tersebut akan
membuatkan Nicol lebih bersemangat untuk terus mengekalkan prestasi cemerlangnya pada masa hadapan.

“Kami amat berbangga dengan anugerah yang diterimanya ini,” ujarnya selepas menerima anugerah daripada Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di sini baru-baru ini.

Antara penerima anugerah lain pula menyaksikan Pasukan Karate Lelaki dan Wanita dipilih sebagai pasukan terbaik dalam kategori masing-masing apabila mengungguli empat anugerah yang dipertandingkan. Sekaligus Lim Chee Jin selaku jurulatih turut menggondol Anugerah Jurulatih Terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Lydia Ong Kok Fooi yang hadir sama berkata, setiap atlit dinilai berdasarkan mutu kecemerlangan yang dicapai pada tahun lepas.

“Anugerah yang diterima diharap dapat meningkatkan motivasi untuk para atlit untuk terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa,” ujarnya.