Choo Kiang Speaker Pulau Pinang, Maktar Timbalan

Oleh : ANNAS ZAINUL ABIDIN & ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-13 secara rasminya dibuka pada pagi Jumaat, 28 Jun lepas.

Seperti biasa, istiadat pelantikan Speaker DUN dilakukan sebelum majlis angkat sumpah kesemua Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilangsungkan.

Ahli Mesyuarat Dewan menerima cadangan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng untuk melantik ADUN Bukit Tambun, Law Choo Kiang sebagai Speaker DUN Pulau Pinang yang baru.

Selain Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Exco-Exco serta kesemua ADUN kemudiannya mengangkat sumpah di hadapan Choo Kiang.

Ahli Majlis Mesyuarat kemudiannya menerima cadangan Guan Eng untuk melantik ADUN Sungai Bakap, Maktar Shapee sebagai Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang sebelum dilangsungkan istiadat angkat sumpah.

Choo Kiang semasa menyampai ucapan alu-aluan pembukaan DUN merakamkan penghargaan atas
pelantikannya itu.

“Saya berharap perjalanan sidang Dewan berjalan lancar,” ujarnya mengalu-alukan pembukaan sidang DUN.

Katanya, beliau bersama-sama Maktar berkongsi cita-cita untuk menyemarak lagi prinsip demokrasi
serta kebebasan bersuara menerusi DUN Pulau Pinang sepanjang tempoh lima tahun mendatang ini.

Dalam perkembangan sama, Choo Kiang turut mengulas mengenai insiden wartawan akhbar Utusan Malaysia, Mohd. Firdaus Ismail, 27, melancarkan protes di luar pagar DUN Pulau Pinang gara-gara
dihalang membuat liputan mesyuarat ADUN.

Beliau berkata, larangan itu adalah ‘era lama’ dan tidak wajar dilakukan pada era beliau menjadi Speaker DUN.

Malah, katanya lagi, beliau tidak akan menghalang mana-mana wartawan daripada melakukan tugas di DUN Pulau Pinang.

“Saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan melarang mana-mana wartawan dari melakukan
tugas mereka di sini.

“Ini satu salah faham. Kami (DUN Pulau Pinang) kesal kerana beliau dihalang, namun saya berjanji ia tidak akan berlaku lagi,” kata Choo Kiang dalam satu sidang media di lobi DUN Pulau Pinang di sini.

Choo Kiang berharap, pihaknya mampu saling berkomunikasi dengan semua media demi mereputasikan lagi peranan DUN Pulau Pinang dalam sistem demokrasi negeri dan Negara.

Sementara itu, Maktar dalam satu sidang media berasingan turut melahirkan rasa terharu kerana dipilih sebagai Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang.

“Secara tiba-tiba maksudnya tak diduga. Tetapi bagaimanapun akan membantu Speaker membuat yg
terbaik.

“Harapan saya, semoga ia berjalan lancar,” ujarnya baru-baru ini.

Mesyuarat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-13 berakhir pada 5 Julai lalu.