Chow Kon Yeow angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal baharu pada jam 9.37 pagi tadi.

Istiadat mengangkat sumpah berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dekat Seri Mutiara di sini.

Pada majlis istiadat tersebut, Kon Yeow, 65, menerima watikah pelantikan dan disusuli dengan istiadat lafaz sumpah memegang jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Ketua Menteri bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota kemudiannya menandatangani surat cara pelantikan dengan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar.

Hadir sama pada majlis istiadat tersebut ialah isteri kepada TYT, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor.

Isteri Ketua Menteri, YBhg. Puan Tan Lean Kee, mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor serta barisan kepimpinan PH negeri Pulau Pinang juga turut hadir.

Sebagai rekod, Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang diberi mandat memegang tampuk pentadbiran negeri untuk penggal kedua.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15), PH bersama-sama parti gabungan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk Kerajaan Negeri selepas memenangi 29 kerusi daripada 40 kerusi DUN.

Difahamkan, DAP berjaya mempertahankan kemenangan di semua 19 kerusi yang dipertandingkan.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang di tujuh kerusi DUN iaitu Kebun Bunga, Pantai Jerejak, Batu Uban, Batu Maung, Machang Bubuk, Bukit Tengah dan Bukit Tambun.

Parti Amanah Negara (Amanah) pula menang satu kerusi di DUN Bayan Lepas manakala BN menang dua daripada enam kerusi yang ditandingi iaitu Bertam dan Sungai Acheh.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALISSALA THIAN