GEORGE TOWN – Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memutuskan untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti itu pada peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung pada 22 September ini.
Menurut Kon Yeow, keputusan tersebut diambil selepas pertimbangan teliti dan sewajarnya yang telah dibuat.
“Sebenarnya, saya telah menerima surat daripada DAP Kebangsaan bertarikh 27 Ogos (2024) yang memaklumkan bahawa saya telah dicalonkan untuk bertanding dalam pemilihan parti peringkat negeri.
“Namun begitu, selepas membuat pertimbangan yang sewajarnya, saya memutuskan menolak pencalonan untuk bertanding.
“Apabila saya dilantik semula sebagai Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri pada 2023, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah mengarahkan saya untuk melaksanakan pelan peralihan kuasa (Pengerusi DAP Pulau Pinang).
“Oleh itu, hari ini saya telah memutuskan melaksanakan langkah pertama dalam pelan peralihan kuasa ini dengan memberi laluan kepada pemimpin yang baharu untuk dipilih sebagai pengerusi DAP Pulau Pinang dalam pemilihan akan datang,” katanya ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee.
Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP menegaskan bahawa sekarang adalah masa tepat untuk beliau melaksanakan peralihan kuasa bagi membolehkan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu memimpin parti dalam tempoh lebih tiga tahun sebelum menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Saya percaya para perwakilan akan memilih ahli jawatankuasa pimpinan DAP Pulau Pinang yang lebih mantap untuk meneruskan perjuangan parti pada 22 September ini.
“Pada masa sama, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada parti dan akar umbi kerana menyokong serta memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang sejak 25 tahun lalu.
“Saya sangat terhutang budi kepada rakyat Pulau Pinang atas sokongan dan semangat yang diberikan kepada saya sepanjang tempoh saya berkhidmat sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang selama ini,” tambahnya.
Ketika ditanya sama ada Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu mungkin akan menggantikan beliau sebagai Ketua Menteri dalam penggal ini, Kon Yeow menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan mengenai perkara itu
“Seingat saya, Anthony Loke (Siew Fook) pernah mengeluarkan kenyataan bahawa saya akan berkhidmat sebagai Ketua Menteri untuk tempoh satu penggal.
“Tambahan pula, saya masih lagi Naib Pengerusi Kebangsaan DAP,” katanya.