Christopher letak sasaran sertai maraton penuh selepas kejayaan di Latvia

Admin

SUHU sangat sejuk, keadaan permukaan jalan tidak rata dan pemakanan berbeza menjadi antara cabaran awal yang perlu ditempuhi atlet larian jarak jauh, S. CHRISTOPHER pada World Athletics Road Running Championships di Riga, Latvia.

 

Atlet berusia 30 tahun itu merupakan wakil tunggal negara yang melepasi kelayakan untuk menyertai kejohanan dunia tersebut selepas berjaya mencatatkan masa persendirian 1 jam 9 minit 55 saat bagi acara separuh maraton sejauh 21 kilometer di Southport, Gold Coast, Australia pada 1 Julai lalu.

 

Ketika ditemui, Christopher yang juga Laskar Kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) baru sahaja pulang dari Kejohanan Olahraga Angkatan Tentera Malaysia Ke-58 yang diadakan di Kompleks Sukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan.

 

Bercerita mengenai penyertaan beliau dalam kejohanan dunia di negara Baltik itu, keadaan cuaca yang amat sejuk merupakan antara cabaran terbesar buat beliau.

 

“Memang cuaca di Riga sangat sejuk, adakala suhu bawah 12°C,” katanya memulakan bicara.

 

Menurut anak kelahiran Pulau Pinang itu, beliau tiba di Riga pada 28 September 2023 selepas menempuhi penerbangan selama 26 jam.

 

“Memandangkan kos yang agak tinggi, saya bergerak sendirian dari Malaysia ke Latvia.

 

“Apabila tiba di sana, pihak penganjur dari World Athletics banyak membantu terutama apabila terdapat kekangan berbahasa yang mana tidak ramai bertutur dalam bahasa Inggeris.

 

Sempatlah saya melakukan dua kali latihan untuk sesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan jalan di sana.

 

“(Dan) dari latihan tersebut baru saya tahu yang keadaan trek (jalan) di sini juga berbeza, tak sama seperti kejohanan sebelum ini.

 

“Pusat bandar Riga tersebut merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO jadi keadaan jalan di sana ada yang berbatu bata, ada berbukit dan bukannya jalan landai rata macam di sini.

 

“Tetapi saya tetap melakukan yang terbaik,” ceritanya.

 

Jelas Christopher lagi, sebelum peserta dilepaskan, beliau mempunyai keyakinan untuk kekalkan momentum kelajuan bagi 10 kilometer pertama.

 

“Namun, apabila tiba di kilometer kelapan, kaki saya mulai kejang.

 

“Walaupun acara bermula pada sebelah petang, tetapi angin sejuk agak kencang,” katanya.

 

Pengalaman Di Negeri Orang

 

Selain keadaan laluan yang agak mencabar di Riga, kata Christopher, pemakanan orang lokal di sana juga amat berbeza.

 

“Sarapan pagi saya tidak mempunyai masalah untuk makan kerana mereka menyajikan makanan yang biasa seperti roti, susu, bijirin, telur dan sebagainya.

 

“Cuma apabila makan tengah hari dan makan malam, memang tidak boleh (diterima tekak), dari segi rasa dan penyediaan memang berbeza, tak macam kita di sini.

 

“Namun, saya perlu juga mengisi perut supaya dapat mengekalkan tenaga optimum menghadapi kejohanan,” katanya.

 

Bukan setakat berbeza persekitaran dan makanan, dari segi fasiliti juga amat berbeza.

 

Christopher berkata bagi sukan olahraga yang diceburinya itu, masih belum mencapai tahap terbaik.

 

“Dari segi fasiliti memang atlet seperti kami tidak mempunyai tempat khas untuk menjalani latihan jika dibandingkan beberapa negara luar yang menyediakan tempat untuk latihan atlet.

 

“Di sini kami perlu bersaing dengan slot acara dan tidak mempunyai tempat khas untuk latihan.

 

“Bukan fasiliti sahaja, untuk cari penaja juga sukar, jadi mungkin perkara ini boleh diberi perhatian oleh pihak kerajaan,” sarannya.

SEMPAT merakam kenangan bersama-sama atlet dari Singapura di tengah-tengah bandar Riga.

 

Teruja Bersaing Dengan Atlet Dunia

 

Walaupun berada pada kedudukan ke-84 dalam kejohanan dunia tersebut dengan catatan masa 1 jam 11 minit 42 saat, ia cukup meletakkan beliau kini pada kedudukan ketiga terbaik di Asia di belakang dua atlet larian jarak jauh  Jepun dan pertama di Asia Tenggara.

 

“Syukur dengan pencapaian baru-baru ini namun saya masih mahu memperbaiki personal best ketika di Gold Coast tempoh hari.

 

“Buat masa ini, saya bersama-sama jurulatih merancang untuk melayakkan diri menyertai acara separuh maraton di Dubai pada November 2023.

 

“(Dan) saya akan jadikan pengalaman di Gold Coast serta Riga sebagai ‘bekalan’,” jelasnya sambil berkongsi mengenai sesi latihan yang dijalankan sebagai persediaan.

CHRISTOPHER Soosai (dua dari kiri) bersama-sama rakan pelari jarak jauh dari Amerika Syarikat.

Teruja dan gembira, itulah yang digambarkan oleh Christopher apabila dapat bertemu dengan pelari-pelari jarak jauh terkemuka terutama dari Kenya dan Ethiopia.

 

“Di sana, memang nampak tahap kelajuan atlet yang berbeza, mereka (atlet dunia) sangat laju terutama dari negara Afrika.

 

“Ada beberapa pelari jarak jauh yang memang saya minati turut menyertai kejohanan  tersebut dan happy apabila dapat bersaing bersama-sama mereka,” ujarnya.

 

Sebagai rekod, tiga atlet dari Kenya mengungguli carta World Athletics Road Running Championships dengan catatan 59 minit 10 saat (rekod kejohanan) oleh Sabastian Kimaru Sawe; Daniel Simiu Ebenyo (59:14 – catatan masa terbaik musim) dan Samwel Nyamai Mailu (59:19 – catatan masa persendirian terbaik).

TERUJA berjumpa Sebastian Kimaru Sawe yang menjadi juara dunia dengan catatan masa 59:10 pada kejohanan tersebut.

Manakala, atlet dari Ethiopia menduduki tempat keempat dengan catatan masa 59:22.

 

Difahamkan, selain Kenya dan Ethiopia, antara negara yang menyertai kejohanan dunia tersebut adalah Perancis, Rusia, Eritrea, Jepun, Morocco, Djibouti, Itali, Uganda, Amerika Syarikat, Belgium, Jerman, Britain, Burundi, Austria, New Zealand, Brazil, Ecuador, Kyrgyzstan, Singapura dan Honduras.

 

Sekadar Kumpul Sijil Penyertaan

 

Sesiapa pun tidak boleh menduga apabila anak sulung dari tiga adik-beradik ini pada mulanya hanya menyertai acara larian sekadar untuk mengumpul sijil penyertaan.

 

“Saya baru habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan cuba untuk sertai acara larian sebab nak kumpul sijil.

 

“Tetapi lama-kelamaan timbul minat sehingga berjaya menyertai SUKMA (Sukan Malaysia) pada tahun 2014 seterusnya layak ke Asian Junior Athletics Championships U20 (bawah 20 tahun),” jelasnya.

 

Di bawah pengawasan jurulatih G.Suntheren, Christopher memberitahu bahawa beliau akan berlatih selama sejam hampir setiap hari.

 

“Kadang-kadang latihan dijalankan di Stadium Bandaraya atau di Universiti Sains Malaysia (USM), ada juga di Padang Polo,” katanya.

 

Menjawab pertanyaan mengenai sumber inspirasi, Christopher menyatakan bahawa ibunya, Jacqueline Lourdu Nathan, 54, dan bakal isteri, Magdalene S. Anthony merupakan antara insan istimewa yang sentiasa memberi sokongan penuh kepadanya termasuk minatnya dalam sukan larian jarak jauh ini.

 

Sabar, Disiplin Diri Penting

 

Selain minat yang mendalam, sabar dan disiplin kendiri perlu ada pada diri, itulah yang Christopher terapkan sejak ‘jatuh cinta’ terhadap acara larian jarak jauh.

 

“Disiplin di sini ada pelbagai termasuk jadual harian yang merangkumi waktu latihan, waktu rehat, waktu makan dan sebagainya.

 

“Saya percaya jika kita mempunyai disiplin kendiri yang tinggi, apa-apa jua yang kita lakukan pastikan akan berjaya.

 

“Setiap hari saya juga akan pastikan saya mendapat tidur yang mencukupi kerana tidur yang cukup sangat penting dalam mengekalkan badan yang sihat,” katanya yang tidak mempunyai seberang diet ketat sebaliknya menikmati makanan seimbang demi stamina.

 

Sasaran & Harapan

 

Tidak hanya ingin memperbaiki catatan masa persendirian dalam kejohanan yang disertai, Christopher juga berhasrat untuk menyertai Sukan Asia Tenggara di Thailand pada Disember 2025 nanti.

 

“Saya ada jurulatih dalam perancangan dan kalau boleh memang nak menyertai Sukan SEA 2025 akan datang.

 

“(Dan) saya juga berharap agar suatu hari nanti ataupun penghujung tahun hadapan dengan stamina yang ada, saya mahu menyertai acara maraton penuh iaitu sejauh 42 kilometer,” luahnya sambil berharap untuk mengekalkan kecergasan kini ke kejohanan akan datang.

 

Pernah menyepi selama tiga tahun sekitar tahun 2015 sehingga 2017 susulan kecederaan yang dialami di tempat kerja, kini beliau kembali dengan tekad dan semangat baharu untuk terus melakar kejayaan.

 

Penghargaan

 

Sebelum mengakhiri pertemuan, Christopher sempat menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kelab sukan, Penang Forward Sports Club yang banyak membantu merintis perjalanan beliau sepanjang bergelar atlet larian jarak jauh.

MENGIBARKAN bendera Penang Forward Sports Club di Riga sebagai penghargaan.

“Terima kasih kepada Datuk Tom Khoo (Penasihat Penang Forward Sports Club) yang telah menaja tiket penerbangan, penginapan dan lain-lain kos untuk menyertai kejohanan di Riga.

 

“Terima kasih juga kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) yang turut memberi sumbangan penajaan,” katanya yang merupakan ahli kelab sukan terbabit sejak tahun 2011.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : LAW SUUN TING & S.CHRISTOPHER