City Ride Goes Eco@Balik Pulau dianjurkan secara normal baharu

Admin

BALIK PULAU – Penganjuran program City Ride Goes Eco Edisi Ke-6 pagi ini adalah bersempena sambutan Hari Bandaraya pada 1 Januari saban tahun.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bahawa pada tahun ini, jumlah penyertaan terpaksa dikurangkan ekoran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Berbanding hampir 1,000 penyertaan pada tahun-tahun sebelumnya, julung kalinya tahun ini dilaksanakan secara normal baharu yang hanya melibatkan 350 peserta sahaja.

“Lazimnya, penganjuran ini adalah selaras ke arah merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” ujarnya sebelum melepaskan para peserta City Ride Goes Eco@Balik Pulau Edisi Ke-6 dekat Kompleks Sukan Balik Pulau di sini.

SOON Lip Chee (kiri), Chow Kon Yeow (kanan) sewaktu kayuhan di sekitar Balik Pulau.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Setiausaha Bandaraya, Ir. A. Rajendran.

Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut memaklumkan bahawa kayuhan adalah sejauh 25 kilometer (km) di sekitar Balik Pulau.

KEADAAN sekitar Kompleks Sukan Balik Pulau ketika acara permulaan kayuhan.

“Saya teruja melihat semua peserta penuh bersemangat dan semestinya tidak sabar untuk memulakan kayuhan sambil menyusuri pemandangan indah serta suasana damai sepanjang melalui kawasan kampung, sawah padi dan banyak lagi.

“Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MBPP dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang komited menjaga keselamatan semua peserta bagi melancarkan lagi perjalanan program pada pagi ini,” ujarnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD