Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
GEORGE TOWN – Usaha berterusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam memperkembangkan aktiviti sukan dan riadah yang membawa manfaat kepada warga negeri mendapat sambutan menggalakkan apabila hampir 5,100 peserta termasuk 82 golongan orang kurang upaya (OKU) memeriahkan acara tahunan City Walk 1.1.18 baru-baru ini.
Program tahun keempat penganjurannya itu dilihat antara inisiatif tepat bagi meningkatkan tahap kesihatan seluruh rakyat Pulau Pinang dan peserta program.
Dalam ucaptamanya, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut menyeru masyarakat Pulau Pinang agar mengamalkan amalan gaya hidup sihat.
“Tiada alasan mengapa kita semua tidak boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjadikan senaman secara rutin.
“Malah, saya sendiri telah menerima sahutan untuk mencabar diri sendiri agar lebih cergas dengan berjalan sebanyak 12,500 langkah setiap hari sejak bulan lepas (Disember 2017).
“Walaupun pada mulanya sasaran ini agak mencabar, tetapi saya bangga akhirnya dapat mencapai matlamat 12,500 langkah setiap hari, kecuali empat hari…,” ujarnya dalam nada seloroh sambil disahut gelak tawa para peserta program.
Selain Guan Eng dan isteri, Betty Chew Gek Cheng, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir); Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Dato’ Maimunah Mohd. Sharif (mantan Datuk Bandar MBPP) turut menyertai ribuan peserta berjalan kaki beramai-ramai berkaitan.
Pada penganjuran berkenaan, para peserta yang terdiri daripada pelbagai golongan umur dan bangsa dibawa menulusuri perjalanan sejauh lima kilometer melawati kawasan-kawasan unik dan menarik sekitar bandar George Town.
Selain larian komuniti, turut diadakan beberapa acara menarik seperti nyanyian dan busking, cabutan bertuah, permainan tradisional dan lain-lain.