CLQ penyelesaian tuntas sediakan persekitaran terkawal, bendung kesan sosial – Exco

Admin
img 20241127 wa0006

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran ketersediaan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) bagi seluruh Pulau Pinang menjelang tahun 2028.

 

 

 

Menurut Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye, pembinaan CLQ merupakan penyelesaian tuntas dan terbaik bagi membendung kesan sosial dan peningkatan kes jenayah terutamanya membabitkan warga asing.

 

 

 

Pendekatan (membina CLQ) ini membolehkan pihak kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyediakan mekanisme persekitaran terkawal atau control environment.

 

 

 

“Usaha ini akan terbantut sekiranya tidak mendapat sokongan padu daripada semua pihak termasuklah cadangan pembatalan CLQ di Teluk Kumbar dan bantahan di kawasan Juru, Bukit Tengah.

 

 

 

“Berdasarkan semakan pihak Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) bersama-sama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pulau Pinang, jumlah pekerja asing yang menetap di asrama penginapan pekerja sementara (TLQ) melalui perakuan penginapan yang dikeluarkan adalah seramai 18,821 pekerja di bahagian pulau dan 36,513 pekerja (Seberang Perai).

 

 

 

“Manakala jumlah pekerja asing yang menetap di CLQ adalah seramai 7,668 pekerja (pulau) dan 10,607 pekerja (Seberang Perai),” ujarnya pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 27 November 2024.

 

 

 

Bercakap pada sesi sama, Mooi Lye yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi memaklumkan bahawa terdapat rumah-rumah kedai yang disalah guna atau disewakan sebagai asrama pekerja di negeri ini.

 

 

 

Kerajaan Negeri telah meluluskan Garis Panduan Penginapan Pekerja Sementara (TLQ) berkuat kuasa pada 1 Januari 2024 sehingga Disember 2027.

 

 

 

“Dalam garis panduan ini, diperincikan syarat-syarat permohonan perancangan TLQ di empat zon utama iaitu kediaman strata, kediaman bertanah, perniagaan dan perindustrian di kawasan pentadbiran PBT masing-masing.

 

 

“Ketetapan ini dapat membantu melancarkan proses kelulusan pada peringkat PBT bagi permohonan TLQ oleh pihak majikan.

 

 

 

“Sekiranya asrama pekerja diwujudkan secara haram tanpa kelulusan PBT, tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah peruntukan Seksyen 70(12) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Seksyen 19(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

 

 

 

“Selain itu, pihak JTK Malaysia turut boleh mengambil tindakan penguatkuasaan melalui peruntukan di bawah Seksyen 24D, Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446),” jelasnya.

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS