Contohi akhlak Nabi Muhammad SAW ke arah khaira ummah – Ahmad Zakiyuddin

GEORGE TOWN – Dalam memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW, umat Islam khasnya di Pulau Pinang diseru agar mencontohi dan menuruti jejak teladan serta akhlak ‘khuluq ‘azim’ (luhur) dalam semua aspek kehidupan.

 

 

 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata demikian pada Majlis Kempen Kenali Nabi Muhammad S.A.W anjuran Gabungan Dakwah Islam Malaysia Cawangan Pulau Pinang melalui aplikasi Zoom Meeting, semalam.

 

 

 

Jelasnya, junjungan besar umat Islam itu sememangnya sudah lama menjadi contoh ‘role model’ dalam corak kepimpinan mahupun sifatnya yang terpuji.

 

 

 

“Kita harus mencontohi kepimpinan Islam yang menjadi model teladan dan pembangunan negara baru Al-Madīnah Al-Munawwarah di bawah pemerintahan Baginda SAW yang bijaksana, berakhlak, beretika dan adil.

 

 

 

“Kepimpinan beliau berfungsi sebagai contoh terbaik kepimpinan agama dan politik, pemerintahan yang terbaik serta panduan luhur merentas pelbagai kaum dan latarbelakang.

 

 

 

“Selain itu kita harus berusaha ke arah matlamat ‘khaira ummah’ dalam menjadi umat terunggul, umat penyaksian, seimbang dan terbaik (‘ummatan wasatan’), yang bukan hanya terbaik untuk umat Islam tetapi juga untuk tampil bermanfaat kepada masyarakat seluruhnya,” ujarnya.

 

 

 

Mengulas mengenai permodenan dan kepesatan teknologi kini, Zakiyuddin juga mahu melihat umat Islam di negeri ini tidak ketinggalan dengan arus pemodenan dan kemajuan kerana hal tersebut turut dituntut dalam agama.

 

 

 

“Dalam mengejar kemajuan, umat Islam tidak harus ketinggalan dengan pemodenan dunia pada hari ini agar kita membangun selari dengan peredaran masa.

 

 

 

“Dalam pada itu, kita harus berfungsi sebagai ‘masdar al-khayr’ atau sumber kebaikan, melalui ‘inspiring personality’ bukan saja kebaikan untuk diri sendiri tetapi melimpah kebaikan kepada orang di sekitarnya, mengilhamkan dan menginspirasikan orang lain agar menjadi baik,” katanya yang turut merujuk kepada cogan kata Visi Penang2030 iaitu Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP) Amran Hazali; Ahli Majlis bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Dato’ Dr. Danial Zainal Abidin dan wakil-wakil pertubuhan dakwah Islam Pulau Pinang antara yang turut serta dalam majlis secara maya tersebut yang dilangsungkan sempena Sambutan Maulidur Rasul tahun ini.

 

 

Pada majlis tersebut juga, personaliti-personaliti dan ilmuwan Islam berhimpun dan berkongsi wadah mengenai kepimpinan serta kisah-kisah teladan dalam mengenali junjungan besar Rasulullah SAW.

 

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR