Covid-19: Datuk Bandar MBSP arah kakitangan kerja dari rumah, 18-31 Mac

SEBERANG JAYA – Semua kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang tidak terlibat dalam bahagian perkhidmatan penting diarahkan bekerja dari rumah
mulai esok.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa langkah tersebut adalah seiring dengan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 18 hingga 31 Mac 2020 demi menangani penularan wabak Covid-19.
“Bekerja dari rumah bukan bermaksud cuti atau boleh tempah tiket pergi melancong ke mana-mana, tapi mesti berada di rumah atau berada dalam daerah tempat tinggal masing-masing, bersedia datang ke pejabat pada bila-bila masa (waktu bekerja) sekiranya dipanggil, serta tidak boleh membuat tuntutan OT (kerja lebih masa) kerana kakitangan sebenarnya bekerja dari rumah semata-mata.
“Prinsip di sebalik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini adalah membendung penularan wabak Covid-19 dengan memastikan semua orang duduk di rumah, mengurangkan pergerakan di mana-mana kawasan termasuk di pejabat.
“Kalau tidak ada pergerakan, penyakit (Covid-19) ini tidak akan merebak.
“Semua kaunter berpusat akan ditutup dan MBSP akan mengeluarkan langkah-langkah terperinci mengenai kaedah pelaksanaan kaunter (perkhidmatan pelanggan secara) siber.
“Jabatan penting di MBSP sahaja akan beroperasi seperti biasa tetapi dalam saiz operasi yang lebih kecil…seperti kerja-kerja kecemasan diteruskan seperti biasa.
“Begitu juga dengan kerja-kerja pemungutan sampah, pemotongan rumput, kerja-kerja memangkas pokok (di bawah kontrak) MARRIS (Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia) diteruskan seperti biasa,” jelasnya pada sidang media di lobi Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.
Hadir sama, barisan Ahli Majlis MBPP; Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod serta ketua-ketua Jabatan MBSP.
Selain itu, Rozali memberitahu bahawa pihaknya turut mengarahkan operasi perkhidmatan di semua kompleks sukan, dewan serbaguna, kompleks renang, pusat hiburan, pasar malam serta gerai jualan baju serta bukan barangan keperluan penting supaya ditutup sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Taman Upcycle MBSP, Taman Rekreasi Taman Tunku (Seberang Jaya) dan Vision Park (Kepala Batas) masih dibuka untuk aktiviti berjoging, tetapi apa jua acara perhimpunan adalah dilarang sama sekali.
“Dewan yang ditempah untuk majlis perkahwinan, kita tidak halang, tetapi kita galakkan ada alternatif lain, kalau diteruskan juga (majlis perkahwinan) mesti dengan langkah-langkah pencegahan sebagaimana digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Semua restoran masih dibenarkan beroperasi untuk menjual makanan secara bungkus sahaja, tidak boleh lagi makan di mana-mana premis makanan… semua makan di rumah.
“Kakitangan MBSP tidak dibenarkan keluar negara, akan dikuarantin selama 14 hari di rumah serta buat pemeriksaan berwajib dengan KKM kalau balik dari luar negara.
“Gerai jualan baju umpamanya, semua jenis pusat hiburan termasuk pawagam akan ditutup juga…kita (Bahagian Direktorat Penguatkuasaan MBSP) akan pantau.
“Semua aktiviti gotong-royong dibatalkan, tiada lagi permohonan baru,” tegasnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Rozali memberitahu MBSP telah menubuhkan Taskforce Pengurusan Krisis Covid-19 yang terdiri daripada 48 anggota iaitu Datuk Bandar, Setiausaha Bandaraya, 24 Ahli-Ahli Majlis, dan 20 ketua-ketua jabatan MBSP.
Tambahnya lagi, Taskforce tersebut akan saling menyelaras pelan tindakan menangani krisis bersama-sama Pihak Berkuasa Negara pada setiap hari serta akan mengemas kini dengan para pengamal media dari semasa ke semasa.
“Setakat ini, keadaan (pengurusan krisis) masih dikawal, kita tidak akan campur tangan urusan KKM dalam melaksanakan langkah-langkah pengawalan wabak (Covid-19).
“Tetapi, kita (MSBP) minta KKM beri latihan kepada Jabatan Pengurusan Krisis (MBSP), andai pada sebarang waktu berlaku keadaan yang lebih teruk lagi, walaupun kita cuba elakkan, kita bersedia untuk hadir sebagai sukarelawan,” jelasnya sambil memberitahu mesyuarat pertama Taskforce adalah pada 16 Mac 2020 iaitu sejurus Kerajaan Persekutuan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MBSP