COVID-19, Exco gesa Pusat segerakan saringan pekerja asing di Pulau Pinang

Admin

DATUK KERAMAT – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo hari ini menggesa Kerajaan Persekutuan supaya segera membantu proses ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja asing berdaftar di negeri ini.

 

Menurutnya, setelah lebih sebulan inisiatif program saringan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dijalankan di negeri ini, hanya 44 peratus sahaja pekerja asing berdaftar yang selesai disaring.

 

“Saringan tersebut perlu dilaksanakan segera ke atas 140,450 pekerja asing pada garis masa sebelum 28 Februari ini.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) harap Kerajaan Pusat boleh segera berikan ‘bantuan’ untuk pastikan saringan ini dijalankan secepat mungkin.

 

“Sebelum inipun saya juga pernah nyatakan bahawa kapasiti kita untuk melakukan saringan ini agak terhad, namun kita mahu dapatkan bagaimana saringan tersebut akan dijalankan nanti.

 

“Tambahan pula, sambutan Tahun Baru Cina bakal menjelma dan saya harapkan saringan tetap dapat dijalankan,” ujarnya pada sidang media ketika mengadakan lawatan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di perumahan strata di Pangsapuri Sri Pelangi dekat sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Pengarah Pesuruhjaya Bangunan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Sr. Nik Ariff Long Dirr dan Pengerusi Gabungan Badan Pengurusan (JMB) Medan Ria, Ong Ee.

 

Dalam perkembangan berkaitan juga, Jagdeep turut menggesa Kerajaan Persekutuan menjelaskan proses pemberian vaksin kepada 26.5 juta rakyat negara ini khususnya di Pulau Pinang.

 

“Kalau 140,450 pekerja asing kita tidak boleh buat saringan, saya ingin tahu apakah pelan untuk 26.5 juta rakyat bagi mendapat vaksin.

 

“Saya tidak mempertikaikan Kerajaan Pusat, saya cuma ingin mendapatkan maklumat terperinci, kebanyakkan negara di dunia sudah memulakan vaksin, namun kita masih bergelut dengan saringan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

Terdahulu, Jagdeep membuat edaran limau mandarin, pelitup muka dan kalender sempena merayakan Tahun Baru Cina yang disambut dalam suasana sederhana dek pandemik COVID-19.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI