COVID-19: Ketua Menteri seru rakyat cekal hadapi senario pasca PKP

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menyeru semua rakyat Pulau Pinang agar terus cekal dalam menghadapi senario masa depan, pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Memasuki hari ke-24 pelaksanaan PKP, rakyat tertanya sama ada perintah ini akan dilanjutkan atau tidak kerana ia akan memberi kesan kepada semua dalam kehidupan harian.

 

“Saya tiada jawapannya dan kita perlu menunggu keputusan yang akan diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri petang ini.

 

“Seperti semua, saya memang berharap agar kita boleh cepat kembali kepada situasi asal dan menghentikan penularan wabak COVID-19 pada kadar segera di negeri kita dan negara kita.

 

KETUA Menteri menyeru semua rakyat beri kerjasama putuskan rantaian COVID-19 di negeri ini.

“Akan tetapi, pihak berwajib iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu meneliti dengan lebih mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.

 

“(Dan) walau apa sekalipun keputusannya, saya berharap rakyat boleh menerima hakikat dan terus memberi kerjasama bagi memutuskan rantaian wabak ini daripada merebak.

 

“(Langkah ini), adalah demi keselamatan kita semua dan juga orang yang kita sayangi, dan apa jua senario masa depan yang terpapar serta bermain-main di dalam pemikiran kita, ia tidak seharusnya menguasai dan seterusnya melemahkan semangat kita di dalam pertempuran melawan wabak ini.

 

“Saya tahu bahawa sebagai pemimpin negeri ini, saya ada kewajipan kepada Pulau Pinang dan rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Saya tidak boleh putus asa dalam melawan COVID-19,” kongsinya pada siaran mesej yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook @ChowKonYeow di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyeru agar semua rakyat bukan sahaja di Pulau Pinang bahkan seluruh negara, dapat memberikan sokongan padu kepada petugas barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus melawan COVID-19.

 

“Setelah tiga minggu (pelaksanaan) PKP, saya percaya ramai yang sudah berasa letih berhadapan dengan kesulitan hidup dan masa depan yang tidak menentu.

 

“(Dan) tidak dapat dinafikan, perasaan ini turut bermain serta menghantui sanubari saya.

 

Namun, sebagai pemimpin negeri ini, saya mempunyai kewajipan kepada Pulau Pinang dan rakyat yang dikasihi, saya tidak boleh berputus asa dalam melawan COVID-19.

 

Walau apa jua senario masa hadapan, ia tidak seharusnya menguasai dan melemahkan semangat kita dalam pertempuran melawan wabak ini.

 

“Teruskan berjuang, jangan mudah menyerah kalah demi mencipta masa depan yang kita banggakan serta impikan,” serunya penuh semangat.

 

Bercakap mengenai situasi ekonomi semasa, Kon Yeow memaklumkan bahawa beliau sendiri tidak dapat memastikan masa depan yang menanti para usahawan serta syarikat-syarikat yang telah lama beroperasi.

 

“Sememangnya masa depan adalah agak kabur dalam memastikan survival dunia perniagaan dan sektor ekonomi secara keseluruhan.

 

“Pasti akan ada perniagaan yang akan hilang relevannya dan secara tidak langsung memerlukan kita (Kerajaan) merombak semula sistem ekonomi sedia ada,” katanya.

 

Sebagai rekod, PKP Fasa 1 diisytiharkan oleh Kerajaan Persekutuan pada 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020 serta disusuli dengan Fasa 2 yang bermula 1 April 2020 dan dijangka tamat pada 14 April ini.

 

Walau bagaimanapun, ramai yang tidak menolak kemungkinan PKP akan bersambung sekiranya usaha meratakan lengkungan jangkitan masih tidak berjaya.

 

Pengumuman sama ada PKP dilanjutkan atau sebaliknya akan terjawab hari ini (10 April 2020) jam 4 petang.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN