Covid-19: Kon Yeow akan bangkitkan 4 perkara kepada PM petang ini

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa beliau akan membangkitkan empat perkara penting dalam mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada jam 3 petang ini di Putrajaya.

Perkara pertama, menurut beliau adalah Kerajaan Persekutuan diminta memperketatkan lagi langkah penguatkuasaan berhubung operasi kilang-kilang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (18 hingga 31 Mac 2020).

“Ini kerana, industri pembuatan merupakan antara industri utama bagi negeri Pulau Pinang, tanpa perincian lengkap, ramai yang masih keliru dengan panduan penutupan serta pengecualian penutupan kilang,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menerusi siaran langsung Facebook di Komtar pada 20 Mac 2020.

Perkara kedua, Kon Yeow menyatakan bahawa pihaknya meminta Kerajaan Pusat memastikan segala peralatan perubatan adalah mencukupi untuk hospital-hospital serta klinik-klinik kerajaan di Pulau Pinang.

“(Perkara) ketiga, saya akan membangkitkan isu kesukaran untuk mendapatkan bekalan pelitup muka (face mask), termometer, sanitizer dan lain-lain kelengkapan keselamatan diperlukan sama ada oleh pengamal perubatan swasta mahupun orang awam

“Bagi pelitup muka, saya akan mengesyorkan supaya Kerajaan Pusat mengenakan kuota eksport serta subsidi kepada pengilang tempatan agar pengeluaran boleh memenuhi keperluan domestik,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Selain itu, perkara keempat yang Kon Yeow akan bangkitkan dalam mesyuarat berkaitan adalah mendapatkan status permohonan Kerajaan Negeri berhubung peruntukan RM30 juta daripada pakej rangsangan ekonomi yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan antara kerajaan negeri pertama yang menyahut usaha Kerajaan Pusat untuk bekerjasama dalam menghadapi wabak COVID-19.

“Tiada tempat bagi istilah perbezaan politik pada waktu genting ini, Pulau Pinang akan mengetepikan segala persaingan politik dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha melawan COVID-19 bagi melindungi seluruh rakyat Malaysia dan Pulau Pinang yang saya kasihi khususnya,” ulasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut mengumumkan pembayaran gaji kakitangan Kerajaan Negeri yang sepatutnya dijadualkan pada 25 Mac 2020, diawalkan pada hari ini.

“Daripada (sektor) kakitangan pembersihan sehingga bahagian penguatkuasaan, serta barisan pegawai yang bertanggungjawab terhadap (sektor) perkhidmatan-perkhidmatan penting, mereka tidak berhenti (untuk) bekerja dalam berkhidmat untuk rakyat Pulau Pinang.

“Bagi mereka yang tidak perlu hadir ke pejabat, tugas terus dilaksanakan dari rumah.

“Sebagai penghargaan dan demi membantu golongan penjawat awam negeri Pulau Pinang yang berhadapan tempoh kesulitan ini, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk membuat bayaran gaji bagi bulan Mac ini dengan lebih awal iaitu pada hari ini juga,” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video: LAW SUUN TING