COVID-19: PDRM keluar 32 kompaun langgar PKP pada 2 Februari 2021

GEORGE TOWN – Hanya 32 kompaun dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini pada 2 Februari 2021.

Komisioner Polis Datuk Sahabudin Abdul Manan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Komisioner Polis Datuk Sahabudin Abdul Manan memberitahu bahawa semua kompaun dikeluarkan adalah termasuk di 45 sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan di seluruh negeri ini.

“Peratusan kompaun yang dikeluarkan semalam hanya kecil iaitu 32 tetapi tindakan nasihat seperti arahan supaya berpatah balik pula adalah melibatkan 1,907 kes,” katanya kepada Buletin Mutiara dalam wawancara khas, sebentar tadi.

Sahabudin berkata, kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pulau Pinang berada pada tahap baik iaitu 98 peratus.

Anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas penunggang motosikal ketika melakukan sekatan jalan raya di laluan masuk ke Jambatan Pulau Pinang, hari ini.

“Penerimaan rakyat Pulau Pinang sangat baik dan kita (PDRM) menggunakan konsep nasihat dahulu, kemudian beri amaran sebelum mengambil tindakan kompaun kepada mereka yang melanggar SOP,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, PDRM telah mengadakan 45 sekatan jalan raya di kelima-lima daerah di negeri Pulau Pinang sepanjang tempoh PKP 1.0 dan PKP 2.0 dengan kekuatan anggota seramai 843 orang.

“Setiap lokasi SJR diketuai oleh PDRM sambil dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sukarelawan polis,” ujarnya.

Setiap pengguna jalan raya perlu menunjukkan surat majikan untuk sebelum dibenarkan merentas daerah.

Dalam pada itu, tinjauan Buletin Mutiara di beberapa lokasi sekatan jalan raya di Seberang Perai mendapati keadaan trafik sedikit sesak tetapi masih terkawal.

Rata-rata orang awam yang melalui lokasi sekatan jalan raya dilihat memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa.

Difahamkan, terdapat lapan lokasi sekatan sekatan jalan raya statik dilaksanakan di Seberang Perai dengan kekuatan 10 anggota pada satu-satu masa.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR