GEORGE TOWN – Penarik beca antara golongan yang terjejas teruk daripada segi pendapatan harian sehingga kini, selama tempoh 19 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi memutuskan semua rantaian perebakan wabak COVID-19 di Pulau Pinang.
Namun, sehingga jam 10 pagi tadi, kira-kira 90 penarik beca dilihat beratur dalam jarak sosial 1 meter (m) antara satu sama lain bagi mendapatkan bantuan RM500 secara sekaligus (one-off) daripada pihak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Pengerusi Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang, Abdul Latif Mohd, 73, memberitahu bahawa rata-rata penerima sumbangan tersebut boleh menarik nafas lega ‘buat seketika’.
Ini kerana, katanya, masing-masing tidak pasti waktu negeri ini bebas daripada COVID-19, lalu, boleh kembali menjalankan aktiviti ekonomi seperti biasa.
“Sebelum COVID, setiap minggu penarik beca ambil (bantuan sumbangan kerajaan) RM20 di bank dekat Lebuh Pantai, semua (penerima berdaftar) kira-kira 100 orang.
“Memasuki minggu keempat (pelaksanaan PKP) sekarang, tak dapat lagi (sumbangan bantuan mingguan RM20).
“Selama empat minggu ini juga, aktiviti pelancongan terganggu, bagaimana penarik beca boleh cari makan.
“Sepatutnya kerajaan, bagus panggil (penerima sumbangan) datang sini (Komtar) untuk mendapat lebih sumbangan (sepanjang tempoh PKP), baguslah,” jelasnya di sini pada 5 April 2020.
Menurutnya, purata pendapatan bulanan penarik beca, antara RM600 hingga RM1,000.
“Macam saya boleh dapat sehingga RM1,000 sebab sektor pelancongan sebelum COVID-19 memang bagus.
“Pendapatan rata-rata penarik beca, ada yang dapat RM600, ada yang dapat RM900 dan ada yang dapat lebih RM1,000… bergantung pada kerajinan masing-masing,” jelasnya lagi.
Seorang lagi penarik beca yang sempat ditemui, N. Ragu, 61, turut menarik nafas lega atas bantuan tunai RM500 sumbangan Kerajaan Negeri.
“Saya sudah mengayuh beca roda tiga sejak 1991 lagi, tapi, dalam tempoh tiga hingga empat minggu ini, sangat susah untuk mendapatkan pelanggan.
“Siapa mahu naik beca… lebih baik duduk di rumah dan jangan ingkar arahan PKP.
“Mujurlah ada pihak tertentu memberikan (bungkusan) makanan, di Masjid Kapitan Keling.
“Tak ada pendapatan sekarang tapi saya masih terpaksa bayar sewa bilik RM250 sebulan.
“Pendapatan penarik beca memang terjejas teruk, sebelum COVID-19 lagi, apabila begitu banyak kereta sewa, teksi, kereta Grab dan perkhidmatan bas percuma (CAT).
“Dalam keadaan persaingan begitu mencabar dahulu pun, saya boleh dalam antara RM40 hingga RM50 sehari, sekarang saya telah tua dan tak boleh kayuh (beca) seperti dahulu, dengan COVID-19, bertambah sengsara.
“Adanya bantuan kewangan (daripada Kerajaan Negeri) sebegini, orang macam saya sudah tentulah begitu gembira, sekurang-kurangnya untuk terus hidup secara ringkas sepanjang PKP ini,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Bercakap dalam sidang media selepas itu, Setiausaha Bahagian bagi Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), M. Maheswari memberitahu bahawa pemberian bantuan secara wang tunai terpaksa dibuat serta-merta kerana rata-rata pemohon tidak mempunyai akaun bank.
“Jadi, Ketua Menteri dan YB Yeoh (Soon Hin, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Pulau Pinang, PETACH) membuat keputusan untuk menyalurkan bantuan sesegera mungkin.
“Mereka (penarik beca) adalah antara kelompok rakyat yang terjejas daripada segi pendapatan apabila sektor pelancongan negeri terjejas (dek COVID-19).
“Pagi ini, dengan bantuan anggota (penguat kuasa) Majlis (Bandaraya Pulau Pinang, MBPP), polis, CERT (Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti), pengawal keselamatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Pulau Pinang), juga Pejabat Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh ada membantu amalan pemeriksaan kesihatan, jarak sosial dan sebagainya,” ulasnya lagi.
Difahamkan, jumlah keseluruhan penarik beca berdaftar di bahagian pulau adalah seramai 329 orang.
Justeru, Maheswari memberitahu Pihak Berkuasa Negeri akan membuat pemutihan senarai penarik beca yang ada demi memastikan tiada penerima tercicir daripada mendapat bantuan kewangan RM500 ketika COVID-19 ini.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD