RATA-RATA peniaga yang ditemui di kawasan Teluk Kumbar terutamanya dekat Taman Sahabat didapati mematuhi Tatacara Pengendalian Piawai (sop)yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan satu kes positif COVID-19 direkodkan di Mukim 9, minggu Ogos lalu.
Selain itu, tinjauan wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurugambar DARWINA MOHD. DAUD juga mendapati perniagaan di kawasan sekitar Mukim 9 agak lembap berbanding sebelum ini.
Pihak kami cuba mendapatkan pandangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, AZRUL MAHATHIR AZIZ yang melakukan pemantauan berterusan di kawasan tumpuan orang ramai dekat sini.
“Kebanyakan perniagaan yang saya perhatikan memang mematuhi sop yang ditetapkan malah ada juga peniaga yang mengambil jalan selamat dengan menutup sementara perniagaan mereka, mungkin sehingga keadaan kembali tenang.
“Walaupun sejak semalam saya mula menerima rungutan daripada para peniaga, namun saya nasihatkan mereka supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“Paling terjejas boleh dikatakan perniagaan nasi campur kerana mungkin penduduk ambil tanggungjawab untuk masak sendiri di rumah sahaja sebagai jaminan keselamatan,” ujarnya yang turut serta dalam tinjauan di sekitar Teluk Kumbar dan Pasir Belanda pagi ini.
Mengakui masih terkejut, Azrul Mahathir tanpa berselindung menyatakan pihaknya mengambil langkah proaktif apabila Mukim 9 dilaporkan mencatatkan satu kes positif.
“Selama ini kita tengok dan berita (kes positif) di kawasan lain, di sini masih sibuk berurus niaga seperti biasa, perniagaan tengah naik dan apabila jadi kes macam ini memang semua panik.
“Seboleh-bolehnya, kita semua mahu elakkan ia (COVID-19) menjadi pandemik di kawasan ini sehingga boleh dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sebagainya,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran selepas satu kes positif direkodkan di kawasan Bayan Lepas, Azrul Mahathir akui bahawa penyampaian maklumat yang tepat dan sahih menjadi suatu cabaran besar dan menghadapi situasi tersebut kerana timbul banyak kekeliruan.
“Faktor kelewatan menyalurkan maklumat menyebabkan ada individu yang tidak bertanggungjawab menularkan maklumat palsu yang boleh mencetuskan suasana panik.
“Sehingga kini saya difahamkan kes aktif yang direkodkan minggu lalu masih kekal satu kes di sini, dimaklumkan hanya ibu sahaja yang positif, anak dan suami negatif namun masih bergantung kepada saringan kedua.
“Para peniaga di Taman Sahabat pun sudah ambil tanggungjawab buat saringan dari minggu lepas ini menunjukkan mereka beri komitmen dalam membendung penularan ini,” jelasnya.
Skuad Buletin Mutiara sempat singgah ke pasar pagi dekat Taman Sahabat dan didapati kebanyakkan premis perniagaan tutup.
Cuma lima premis beroperasi ekoran kebimbangan penularan COVID-19 yang berlaku di flat taman berkenaan baru-baru ini.
Bagi situasi di sekolah-sekolah pula, Azrul Mahathir memaklumkan bahawa sesi persekolahan berjalan seperti biasa, hasil makluman seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar.
“Sesi sekolah macam biasa cuma kalau pelajar yang tinggal di Taman Sahabat, guru-guru mohon jasa baik waris agar tidak benarkan pelajar hadir untuk sementara waktu,” maklum Azrul Mahathir.
Seorang peniaga daging, SAMSUDIN PILLAY ABDULLAH, ketika ditemui memberitahu, perniagaan di pasar Taman Sahabat terjejas teruk sejak penularan kes di lokaliti terababit.
“Saya harap jasa baik daripada pihak Kerajaan Negeri seandainya boleh… salurkan saguhati kepada kami yang terjejas ekoran kes tersebut,” rayunya.
Sementara itu, bagi peniaga buah, ASRI ABDUL RAHMAN, memberitahu sehingga kini hampir 100 peniaga dan kontak rapat mereka telah melakukan ujian saringan COVID-19 di klinik kesihatan berhampiran.