GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini terus menerima sumbangan daripada syarikat-syarikat swasta tempatan untuk diserahkan kepada petugas barisan hadapan di negeri ini.
Klinik estetik terkemuka di Pulau Pinang, AOKlinik menyerahkan 1,000 pelindung muka (face shields) untuk disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan dan juga petugas barisan hadapan berkaitan yang terlibat secara langsung dalam melawan wabak COVID-19 di negeri ini.
Sumbangan diserahkan kepada Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng yang mewakili Kerajaan Negeri dalam majlis serahan di Komtar, tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Lee Wei Seang.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menerima 700 pelindung muka lagi daripada kolej swasta, MSU College Penang.
Terdahulu, Lai Heng juga ADUN Komtar mewakili Kerajaan Negeri menerima sumbangan daripada Vintexcom Technology Sdn. Bhd. berupa pelitup muka sebanyak 5,000 helai dan 120 botol pensanitasi.
Malah, syarikat Sign Create Advertising turut menyumbang sebanyak 300 pelekat yang tertera ‘Social Distancing, Please Stand Here’ untuk diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan dalam memastikan jarak sosial dipatuhi di kawasan seliaan pihak berkaitan.
“Terima kasih kepada semua penyumbang dan bagi pihak Kerajaan Negeri, saya amat mengalu-alukan inisiatif sebegini, dalam sama-sama memerangi wabak COVID-19 ini,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.
Difahamkan, semua sumbangan barangan yang diterima oleh Kerajaan Negeri akan terus disalurkan kepada petugas barisan hadapan dalam menangani wabak COVID-19.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALVIE CHENG