COVID-19 tidak kenal warna kulit, Pulau Pinang umum bantuan makanan kepada pelarian – Kon Yeow

Admin

 

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan kelulusan sejumlah peruntukan dana kepada Persatuan Komuniti Berdikari untuk tujuan membantu komuniti pelarian yang terjejas dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

“Kerajaan Negeri sedar bahawa virus COVID-19 tidak mengenal kaum, agama dan kewarganegaraan.

“Jika kita tidak memastikan keselamatan serta kesihatan komuniti migran di negeri kita, maka secara tidak langsung, kita tidak akan dapat mematahkan rantaian perebakan virus ini.

“Dan, jika kita tidak dapat mematahkannya, maka akhirnya rakyat Pulau Pinang dan rakyat Malaysia juga yang akan terkesan,” jelasnya dalam sesi siaran langsung Facebook di Komtar pada 13 April 2020.

Menurut Kon Yeow, sejak semalam, sebahagian daripada jumlah keseluruhan 20,000 pek bahan makanan membabitkan lima daerah telah mula diedarkan di Daerah Barat Daya kepada golongan sasar yang layak.

Mereka, menurut beliau, adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); penerima bantuan program Agenda Ekonomi Saksama (AES); penduduk-penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah kos rendah; dan mana-mana individu atau keluarga yang telah dikenal pasti layak menerima bantuan oleh ADUN Kawasan.

“Terdapat lima lokasi pengumpulan dan pengagihan makanan berpusat yang disediakan oleh Kerajaan Negeri iaitu Mutiara Food Bank yang beroperasi di Kompleks Masyarakat Penyayang bagi Daerah Timur Laut; Dewan Kompleks Pasar Awam Balik Pulau bagi Daerah Barat Daya ; Pejabat Persatuan Bomba dan Sukarela Raja Uda bagi Daerah Seberang Perai Utara ; Dewan JKR Taman Bukit Kecil, Bukit Mertajam bagi Daerah Seberang Perai Tengah; dan Dewan MPKK Bukit Panchor, Nibong Tebal bagi Daerah Seberang Perai Selatan,” ujarnya.

Tambah Kon Yeow, pentadbirannya akan terus memantau dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi memastikan majikan masih membayar gaji pekerja termasuk buruh migran.

“Setakat ini, maklum balas yang diterima pihak kerajaan ialah majikan masih membayar gaji pekerja migran mereka.

“Namun, kami juga menerima keluhan para majikan terutamanya usahawan SME bahawa pelanjutan PKP akan memberikan beban kewangan yang berat kepada mereka,” ulasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut menjelaskan maklum balas yang diterima daripada Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Pemaju Hartanah & Hartanah Malaysia (REHDA) negeri mengenai aspek keselamatan dan kebajikan para pekerja, termasuk buruh asing.

“Pihak FMM turut memberikan maklum balas bahawa pekerja migran mereka diarahkan untuk mematuhi PKP secara tegas, melaksanakan langkah-langkah kesihatan awam seperti penjarakan sosial dan sekiranya mereka terlibat dengan operasi kilang perkhidmatan penting, maka peralatan seperti pelitup muka serta pensanitasi tangan juga akan disediakan untuk keperluan mereka.

“Sebagai jaminan keselamatan semua di negeri ini, pegawai penguat kuasa dari kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa memantau keadaan tapak-tapak pembinaan untuk memastikan kepatuhan PKP,” tegasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI