CSR korporat suntik nafas baru taman rekreasi

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAGAN JERMAL – Pihak pemaju, Tan Wah Group (TWG) menyahut seruan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya untuk mengindahkan kawasan rekreasi Anjung Bagan di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak MPSP dan Pengarah TWG, Datuk Hong Yeam Wah ekoran kejayaan menaiktaraf kawasan rekreasi Anjung Bagan dengan kos RM350,000.

“TWG telah mengambil inisiatif menaja bagi menjana imej baru Anjung Bagan melalui ‘projek anak angkat’ yang dimulakan sejak 26 Disember 2012,” ujarnya pada Majlis Perasmian Anjung Bagan di sini baru-baru ini.

Guan Eng memberitahu, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu menjadikan Pulau Pinang bersih, hijau, sihat dan selamat, maka negeri ini dilihat harus memiliki kawasan serta tempat berlandskap menarik dan cantik.

“Secara tidak langsung, ini akan menjadi daya penarik kepada pelbagai kegiatan sosial dan ekonomi lantas dengan itu, saya juga menyeru orang ramai supaya memelihara kehijauan tempat ini serta menjaga peralatan di sini seperti harta benda kita sendiri,” jelasnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif menyatakan bahawa antara komponen dinaiktaraf adalah sebahagian kolam yang telah ditambun dan ditanam rumput, pemasangan 10 lampu taman, rupa bentuk arca sauh, empat unit outdoor gym, wakaf, landskap baru serta membaiki air pancutan sedia ada.

Mengulas lanjut, Maimunah menyatakan bahawa MPSP telah membelanjakan RM800,000 untuk  tujuan menaiktaraf taman kejiranan serta memperuntukkan RM423,723.55 bagi menyelenggara serta membaiki alat-alat permainan di Seberang Perai bagi tahun 2013.

Tambah Maimunah, selain kawasan rekreasi, MPSP turut mencari pihak berminat untuk menjalankan CSR ke atas 29 lagi lokasi landskap yang belum ditaja oleh mana-mana pihak kini.

Pihak yang berminat boleh menghubungi MPSP bagi menyumbang kepada penambahbaikan landskap di kawasan Seberang Perai.