Cuaca kering – JIMAT AIR!

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng memuji syarikat Osram Opto Semiconductor Sdn. Bhd. (syarikat pembuatan lampu) dan Cradotex (Malaysia) Sdn. Bhd, (penggiat industri gentian kaca) ekoran amalan konsep penjimatan air di syarikat masing-masing di sini baru-baru ini.

Lanjutan itu, kedua-dua syarikat terbabit dianugerahkan sijil penghargaan Aqua Save dari Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd..

Majlis penyampaian sijil disempurnakan Guan Eng dalam suasana ringkas tapi penuh bermakna.

Menurut Guan Eng, sikap serta amalan syarikat-syarikat berkenaan wajar dipuji memandangkan Pulau Pinang mencatatkan kadar penggunaan air tertinggi dalam negara iaitu mengatasi kadar nasional.

“Kadar penggunaan purata air setiap individu di Pulau Pinang adalah sebanyak 302 liter berbanding kadar nasional, 215 liter.

“Kita (Pulau Pinang) kalau boleh tidak mahu kekalkan rekod ini memandangkan kita (Pulau Pinang) mempunyai sebuah syarikat air paling efisien di negara ini.

“Namun, malangnya kadar penggunaan domestik kita amatlah teruk,” tegas beliau pada Majlis Taklimat Aqua Save dan Penyampaian Sijil Penghargaan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Perhubungan Korporat PBAPP, Ir. K. Jayabalan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai.

Seru Guan Eng adalah supaya semua pengguna dapat jimatkan bekalan air dalam penggunaan seharian ekoran negara sedang mengalami cuaca panas yang panjang kini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa tiada sebarang catuan air akan dijalankan memandangkan bekalan air negeri di tiga empangan kini masih mampu menampung penggunaan semasa sehingga penghujung Mac sebelum pertimbangan catuan dilaksanakan kelak.