Cuaca panas: PBAPP terus pantau paras semasa Sungai Muda, empangan

Admin
whatsapp image 2024 02 15 at 12.00.33 (1)

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan terus memantau paras semasa air di Sungai Muda susulan fenomena cuaca panas yang melanda seluruh negara kini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sebagai tindakan strategik, PBAPP akan menyalurkan air dari Empangan Mengkuang apabila didapati paras Sungai Muda menyusut ke suatu paras yang membimbangkan.

“Buat masa ini, berdasarkan laporan, paras Sungai Muda berada pada Amaran Tahap 1 dan pihak PBAPP akan terus memantau paras semasa sungai tersebut.

Selain di Sungai Muda, PBAPP juga telah diarahkan untuk terus memantau paras efektif di semua empangan di negeri ini.

“Berhubung paras air di Empangan Air Itam, pihak Kerajaan Negeri telah menulis surat kepada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 2 Februari lalu untuk melaksanakan operasi pembenihan awan.

“Namun, untuk melaksanakan operasi tersebut, ia perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan maka sehingga hari ini, kita (Kerajaan Negeri dan PBAPP) masih menunggu maklum balas pihak SPAN,” ujarnya.

Kon Yeow berkata demikian sebagai respons terhadap pertanyaan pemberita berhubung cadangan PBAPP untuk memulakan operasi pembenihan awan bagi meningkatkan kembali kapasiti efektif di Empangan Air Itam.

Sebelum ini, PBAPP mengesahkan penurunan kapasiti efektif Empangan Air Itam sehingga mencecah paras 37 peratus akibat cuaca panas.

Walau bagaimanapun, kata Kon Yeow, kapasiti efektif di Empangan Air Itam sejak 10 hari lalu tidak lagi menyusut.

“Ini disebabkan PBAPP kurang mengekstrak air dari Empangan Air Itam sebaliknya menyalurkan air dari Sungai Dua (Loji Rawatan Air) untuk keperluan pengguna yang menerima air dari empangan tersebut,” jelas Pengerusi Bukan Eksekutif PBAPP itu lagi.

Pada masa sama, Kon Yeow yang juga Exco Komunikasi menyeru semua pengguna untuk menggunakan air secara berhemah terutama ketika cuaca panas kini.

Pengguna juga mempunyai tanggungjawab yang mana mereka perlu berjimat cermat menggunakan air semasa musim kemarau kini, ini adalah penting.

“(Dan) dengan kapasiti efektif semasa di empangan kini, PBAPP akan terus memantau bagi memastikan pengguna tidak terjejas,” katanya.

Sehingga 1.00 petang hari ini, paras di Empangan Air Itam berada pada kapasiti 32.4 peratus dan mampu bertahan selama 32 hari sekiranya kapasiti sekarang dapat dikekalkan.

Manakala bagi Empangan Teluk Bahang pula berada pada tahap 82.8 peratus serta mampu bertahan sehingga 257 hari dan Empangan Mengkuang (89.8 peratus, 130 hari).

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN