Cuaca panas : Terus pantau keperluan OPA, saran jimat penggunaan air harian serta-merta

Admin
whatsapp image 2024 03 18 at 17.09.32

CUACA kering dan panas dengan suhu mencecah lebih  35°Celcius masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sepanjang tujuh hari ke hadapan.

 

Perkara itu, dimaklumkan melalui kenyataan media oleh Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di laman Facebook rasmi jabatan itu hari ini.

whatsapp image 2024 03 18 at 10.11.49 am
FOTO yang sempat dirakam oleh lensa Buletin Mutiara di Empangan Air Itam pagi ini.

Mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh MetMalaysia itu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari ketika dihubungi berkata, pihaknya melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah membentangkan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) sebelum ini.

 

“Tujuan pelan tersebut adalah bagi melaksanakan empat langkah kontingensi dalam mengekalkan kapasiti efektif Empangan Air Itam yang kini dilihat mengalami penyusutan akibat cuaca kering dan panas.

 

“Antara langkah yang diambil adalah dengan mengurangkan pelepasan harian dari Empangan Air Itam ke Loji Rawatan Air (LRA) Air Itam sebanyak 75 peratus iaitu dari 44 juta liter sehari (JLH) kepada 11 JLH,” ujarnya.

 

Setakat ini, kata Zairil, Empangan Air Itam telah menerima sebanyak 33 JLH ‘sokongan’ air terawat dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai yang akan dipam semula di Rumah Pam Padang Brown ke kawasan perkhidmatan LRA Air Itam.

 

“Ini akan menampung kekurangan 33 JLH dalam pengeluaran dari Empangan Air Itam,” katanya.

 

Ditanya mengenai operasi pembenihan awan (OPA), Zairil memaklumkan bahawa pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebelum ini telah menjalankan operasi tersebut pada 27 dan 28 Februari 2024 di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah, Perak dan dua empangan di Pulau Pinang iaitu Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang untuk meningkatkan paras takungan empangan.

 

“Walau bagaimanapun, kenyataan media NADMA pada 1 Mac lalu melaporkan bahawa tiada rekod hujan direkodkan di kesemua empangan tersebut.

 

“Banyak faktor teknikal yang mempengaruhi proses OPA dan Kerajaan Negeri menyerahkan kepada MetMalaysia untuk menentukan masa dan keadaan terbaik untuk melaksanakan proses tersebut,” jelasnya.

 

Dalam perkembangan serupa, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai dipetik laporan media berkata bahawa pihaknya dan MetMalaysia akan terus memantau keperluan OPA.

 

Serentak itu, garis panduan berhubung kesesuaian waktu bagi melaksanakan OPA agar lebih berkesan akan dikeluarkan sebagai rujukan kementerian serta agensi berkaitan.

whatsapp image 2024 03 18 at 10.11.53 am
PAPAN tanda yang memaparkan paras kapasiti efektif empangan utama di negeri ini.

Dalam pada itu, PBAPP menerusi kenyataan media bertarikh 18 Mac 2024, merayu kepada semua pengguna air di negeri ini supaya mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus serta-merta.

 

Ini susulan, kenaikan mendadak penggunaan air harian yang dijangka mencapai 927 JLH berbanding purata harian 877 JLH yang direkodkan pada tahun 2023.

 

Hal ini telah menyebabkan masalah di beberapa kawasan di daerah Barat Daya dan Seberang Perai Selatan seperti yang dilaporkan pada 16 Mac lalu.

 

Pada masa sama, paras air di Sungai Muda kini berada di bawah ‘paras selamat’ 2.0 meter padu (m3) untuk mengabstrak air di muka sauk Lahar Tiang, Seberang Perai.

 

“Namun begitu, PBAPP bersiap sedia untuk melepaskan maksimum 600JLH dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) apabila kita tidak dapat lagi mengabstrak air yang mencukupi dari Sungai Muda,” sebagai dipetik kenyataan media berkaitan.

 

Sehingga jam 12.00 tengah hari tadi, paras efektif bagi Empangan Air Itam adalah pada 36.6 peratus; manakala Empangan Teluk Bahang dan Empangan Mengkuang masing-masing 72.8 peratus dan 89.6 peratus.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR