Cuaca cerah, Kon Yeow harap peratusan keluar mengundi lebih 80 peratus beri ‘kelebihan’ kepada PH

DUA pengundi lokal merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama Chow Kon Yeow di Pusat Mengundi PRU15 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa 3, Perai pada petang tadi (11 November 2022)

PERAI – Dengan cuaca cerah serta tidak hujan sehingga jam 2 petang tadi, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kawasan Parlimen P046 Batu Kawan, Chow Kon Chow Kon Yeow berharap jumlah keluar mengundi di Parlimen tersebut selepas 6 petang nanti adalah melebihi sasaran 80 peratus.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri merangkap Pengerusi PH Pulau Pinang berkata demikian selepas mengadakan lawatan ringkas ke Pusat Mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa 3 dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai di sini pada 19 November 2022.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang berkata pihaknya percaya bahawa PH ada kelebihan untuk mempertahankan mandat rakyat di P046 Batu Kawan jika jumlah keluar mengundi tinggi melebihi 80 peratus.

“Kita harap (jumlah keluar mengundi mencecah) 80 peratus, ada saluran tertentu (peratusan keluar mengundi sehingga 2 petang ini) sudah mencapai lebih 60 peratus.

“Kita ada baki masa selama empat jam (sehingga 6 petang), saya harap kita akan mencapai sasaran (lebih 80 peratus keluar mengundi) tersebut,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota kepada Buletin Mutiara.

Sebelum itu, Kon Yeow memberitahu bahawa proses pembuangan undi pada sebelah pagi di beberapa Pusat Mengundi adalah memuaskan.

Namun, tambah beliau, ada satu atau dua Pusat Mengundi tertentu dalam kawasan Parlimen Batu Kawan pada sebelah pagi tadi menyaksikan pengundi berdaftar beratur begitu panjang.

“Pada sebelah pagi, saya mendapati kebanyakan Pusat Mengundi penuh dengan orang muda yang beratur menjelang 8 pagi.

“Dan, saya mendapati ada satu dua Pusat Mengundi, ada satu baris (pengundi) yang amat panjang, dan sepatutnya Pengurus Pusat Mengundi boleh membuat pindaan dan penambahbaikan…supaya orang tidak perlu menunggu terlalu lama di bawah terik matahari.

“Secara keseluruhan, kita (PH) rasa berpuas hati dengan jumlah keluar mengundi dan kita harap akan membawa keputusan yang baik (buat PH),” ujarnya lanjut.

Meneruskan acara, Kon Yeow dengan diiringi Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga ADUN Perai dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), P. David Marshell turut mengadakan lawatan ringkas ke Pusat Mengundi PRU15 di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Inderawasih pada jam 2.35 petang dan 3.30 petang di Sekolah Kebangsaan Juru dekat KADUN Bukit Tengah.

Pada 9.30 malam ini, Kon Yeow dijadualkan ke Pusat Pengiraan Undi PRU15 bagi P046 Batu Kawan di Kolej Vokasional Seberang Perai Tengah dekat Jalan Bukit Minyak 2.

Sebagai rekod, jumlah keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi kawasan Parlimen P046 Batu Kawan pada 9 Mei 2018 lepas adalah 42,683 orang yang mana calon PH, P. Kasthurirani pada waktu itu diisytiharkan menang dengan majoriti 33,553 undi.