Cukai tanah hari ini, 26 tahun lalu adalah sama – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa rakyat membayar cukai tanah kepada Kerajaan Negeri hari ini adalah mengikut kadar yang sama seperti 26 tahun lalu.

Penjelasan itu sekaligus menjawab pertikaian Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Dato’ Mohamad Yusoff Mohd. Noor yang mendakwa Kerajaan Negeri menjana hasil melalui kenaan cukai tanah secara optimum sehingga membebankan rakyat di negeri ini.

“Oleh itu, pembayaran sewa ini adalah tidak membebankan rakyat negeri ini disebabkan sewa yang dikenakan adalah sama bagi jangka masa panjang,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Dewan Sri Pinang pada 19 Oktober 2020.

Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa semakan sewa terakhir di negeri ini dibuat pada tahun 1994.

Menurut beliau, rakyat di negeri ini telah membayar sewa dengan kadar sama selama 26 tahun walaupun nilai hartanah yang dimilikinya bertambah setiap tahun.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota menjelaskan bahawa Sekyen 76 Kanun Tanah Negara 1965 memperuntukkan kuasa untuk Pihak Berkuasa Negeri membuat penilaian semula kadar cukai tanah bagi setiap sepuluh tahun dari tarikh semakan terakhir dilaksanakan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI