GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengumumkan Pulau Pinang mendapat kelulusan untuk melanjutkan cuti bersalin kakitangannya daripada 60 kepada 90 hari berkuatkuasa 15 Oktober 2010.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri menghantar surat lanjutan cuti bersalin kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada 29 April tahun lalu.
“Kerajaan Pusat bersetuju berbuat demikian dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling perkhidmatan Bil. 14 tahun 2010 bagi melaksanakan dasar baru kemudahan cuti bersalin pegawai awam Kerajaan Negeri pada 2 Disember lalu.
“Pekeliling ini berkuatkuasa mulai 15 Oktober 2010 dan ia disetujui dalam Mesyuarat Exco 12 Januari tahun ini,” katanya pada sidang media di sini.
Menurut Guan Eng, cadangan tersebut disokong Kerajaan Negeri kerana cuti bersalin 90 hari adalah selaras dengan amalan lebih 80 peratus negara di seluruh dunia termasuk Singapura, India, Indonesia dan Thailand.
Sehubungan itu, mana-mana penjawat awam negeri yang bersalin selepas 15 Oktober 2010 layak mendapatkan cuti 90 hari. Bagaimanapun, kelayakan cuti bersalin bergaji penuh terhad 300 hari sepanjang perkhidmatan pegawai berkenaan.
APA KATA MEREKA :
KHOR Sock Kun, 35, Pegawai Penyelidik Jabatan Perkhidmatan Veterinar
”Memang bagus! Dengan pelaksanaan dasar ini, ia membolehkan ibu-ibu menyusu anak dalam tempoh lebih lama. Ini dapat mengeratkan hubungan antara ibu dan anak kerana bayi yang sentiasa dipeluk adalah lebih senang dijaga. Selain itu, ibu mempunyai masa yang cukup untuk penyediaan seperti penyimpanan susu ibu dan juga mencari pengasuh yang bersesuaian. Ini kerana, bukan semua pengasuh sanggup memanaskan perahan susu ibu yang disimpan di dalam pek sejuk beku.”
WARDAH Mohamed Hassan, 32, Penolong Pengarah UPEN (Penswastaan)
“Amat dialu-alukan! Tambahan 30 hari cuti bersalin membolehkan ibu mendapat rehat secukupnya terutamanya mereka yang bersalin melalui kaedah pembedahan. Malah, saya juga pernah terbaca bahawa Malaysia merupakan salah satu negera yang mempunyai cuti bersalin paling rendah di dunia. Justeru, pelaksanaan ini adalah sesuatu yang amat bagus.”
M.Sujata, 32, Ketua Penolong Pengarah UPEN (Penyelidikan dan Pembangunan)
”Amat bagus! Langkah ini memperlihatkan bahawa Kerajaan menitikberatkan keperluan seorang ibu. Lazimnya, selain sebagai seorang pekerja, seorang wanita turut memegang tanggungjawab sebagai ibu dan isteri. Justeru, dengan pertambahan cuti bersalin kepada 90 hari, ibu bukan hanya mendapat rehat secukupnya, malah, turut dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak yang bakal menjadi generasi pelapis negara.”
MUHAMAD Azrai Mohamad Zaini, 29, Penolong Pengarah UPEN (Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan)
”Walaupun ramai pihak yang bimbang dengan kadar produktiviti kaum wanita yang memperoleh cuti bersalin 90 hari, ia sama sekali tidak benar. Bagi sama, kadar produktiviti akan kekal sama disebabkan ’fallback’. Malah, setiap jabatan mempunyai pegawai-pegawai lain untuk mengambil alih tugas dalam tempoh sementara. Pada masa sama, tempoh 90 hari juga membolehkan seorang ibu memperoleh rehat secukupnya.”
ISMAWATI Ismauddin, 32, Pembantu Tadbir (Makro)
”Bagus! Ibu dapat rehat secukupnya dan ia juga dapat memberi masa secukupnya untuk seorang bayi menerima atau biasa dengan puting tiruan.”