CUTI perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini ibarat ‘membuka pintu rezeki’ kepada individu-individu yang menjalankan perniagaan sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
Tinjauan Buletin Mutiara pada pagi ini mendapati kawasan sekitar bandar raya sedikit lengang mungkin masih ada yang menyambung cuti sehingga hujung minggu ini, namun keadaan kembali sibuk menjelang tengah hari.
Rata-rata peniaga yang ditemui menzahirkan rasa gembira apabila perniagaan yang sebelum ini agak suram, kembali mendapat sambutan terutama pengunjung dari luar negeri Pulau Pinang.
Menurut pemilik premis sewaan skuter elektrik Segway, SAIFUL MOKHTAR di Lebuh Armenian, kebanjiran pelancong ke George Town memberi kesan positif kepada perniagaannya.
“Dalam tempoh long weekend bersambung dengan cuti Tahun Baru Cina, sewaan skuter elektrik ini sangat menggalakkan.
“Kalau pukul 5 petang ke atas memang bertambah sibuk kadang kala waktu malam fully booked terus, hari ini pun saya sudah terima tempahan untuk malam,” ujar beliau ketika menerima kunjungan Buletin Mutiara di premisnya pagi tadi.
Suasana sama turut dirasai salah seorang pembantu dekat Restoran Sutera, SHAFIZAN ZOOLKIFLI.
Beliau juga perlu ‘turun padang’ membantu di restoran yang dimiliki oleh keluarga isterinya itu pada cuti umum dan perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.
“Kalau ikut suasana di restoran, kebanyakkan yang datang memang bersama-sama keluarga, tidak kurang juga yang adakan gathering dinner dan sebagainya.
“Atas sebab itu saya juga terpaksa ‘turun padang’ membantu bagi melancarkan perkhidmatan kepada pelanggan agar tidak terjejas dan menghampakan pelanggan yang mungkin terpaksa menunggu lama untuk menerima pesanan,” ceritanya.
Buletin Mutiara dalam pada itu sempat bertemu dengan salah seorang pelancong dari Kelantan, NURUL AIN ROSLI.
Katanya, dia memilih Pulau Pinang sebagai destinasi percutian bersama-sama keluarganya kerana menyifatkan Pulau Pinang mempunyai banyak tempat menarik.
“Selain itu makanan di sini juga sedap-sedap seperti yang dipamerkan di media sosial, jadi kami sekeluarga pilih cuti ke Pulau Pinang selama tiga hari.
“Mengenai aliran trafik dalam kawasan pulau, semuanya lancar tidak ada kesesakan teruk walaupun kenderaan banyak tapi sepanjang tempoh percutian ini alhamdulillah,” jelas penuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu.
Sementara itu, menurut sumber jurucakap Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), berlaku kesesakan dari arah Juru ke Bukit Tambun semalam.
Kesesakan hampir 30 kilometer dari Perai sehingga Jawi turut berlaku dan dipercayai berpunca daripada peningkatan jumlah kenderaan pengguna yang pulang ke destinasi masing-masing selepas cuti perayaan Tahun Baru Cina berakhir.
Bagi Warden Trafik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang bertugas di kawasan George Town yang namanya tidak mahu disiarkan berkata bahawa kawasan tumpuan pelancong menjadi sedikit sesak dalam tempoh cuti baru-baru ini.
“Namun pihak kami (MBPP) berjaya mengawal keadaan, cuma kalau ada kenderaan terus berdegil menghalang lalu lintas tindakan tegas terpaksa diambil.
“Untuk hari ini keadaan agak sederhana namun masih perlukan pemantauan rapi,”tegasnya.
Manakala melalui kiriman awam oleh seorang kakitangan syarikat pemaju, AMALINA SAMAD memaklumkan bahawa aliran trafik di Jambatan Pulau Pinang ke arah pulau kurang sesak.
“Ini mungkin disumbang oleh mood bercuti dan masih ada orang yang mengambil keputusan menyambung cuti hingga hujung minggu ini,” katanya yang berulang alik dari Seberang Perai ke bahagian pulau setiap hari.