BAGAN JERMAL – Kerajaan Persekutuan hari ini melancarkan Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 (D3PKN2030) bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan penjaja dan peniaga kecil yang lebih kondusif serta mampan.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) peringkat kebangsaan 2024 dekat Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena di sini sebentar tadi.
Anwar berkata, dengan adanya dasar yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) itu akan membolehkan peruntukan khas disalurkan, khusus untuk penganjuran HPPK serta membantu peniaga-peniaga kecil di negara ini.
“Sebelum ini, tiada peruntukan bagi penganjuran HPPK kerana kita tidak ada dasar mengenai peniaga kecil, justeru dengan adanya kerangka dasar ini maka pada tahun depan akan ada peruntukan khas untuk tujuan ini,” katanya ketika berucap ketika merasmikan HPPK di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi yang terkini ialah Datuk Ewon Benedick; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Zulkifli Long; barisan Exco Kerajaan Negeri; Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Datuk Zainal Abidin Abdul Majid juga turut hadir.
Anwar berkata, Kerajaan Madani sebelum ini menggesa barisan jemaah menteri, khususnya Kuskom untuk merangka suatu dasar yang memberikan keutamaan kepada rakyat secara menyeluruh terutamanya penjaja serta peniaga kecil.
Pada masa sama, beliau meminta semua kerajaan negeri memberi fokus kepada penambahbaikan warung, gerai dan penjaja kecil sebagai simbol identiti kota selain memastikan kebersihan dan keselesaan bagi semua.
Jelas beliau, ia adalah usaha untuk memastikan pembangunan yang lebih adil dan inklusif susulan hampir 80 peratus rakyat lebih cenderung memilih untuk makan dan berbelanja di warung-warung kecil berbanding restoran besar.
“Bila bercakap pasal kota, gedung-gedung besar biar pihak swasta buat..dia (pihak swasta) nak buat bangunan, hotel dia buat. Kerajaan negeri saya minta tumpu kepada warung, gerai penjaja.
“Bukan main hebat bila kita Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor Bahru tapi bila tengok gerai warung yang hampir 80 peratus rakyat kita pergi makan macam nak roboh, lampu tak menyala, tandas busuk dan kotor.
“Sebab itu penting untuk memperbaiki infrastruktur seperti tandas, bumbung dan lampu di kawasan perniagaan kecil bagi meningkatkan pengalaman rakyat,” katanya.
Oleh : SUNATI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD